Hanis Aliaa Hidzir

KEHANGATAN separuh akhir Muzik Muzik 36 makin membara apabila 10 lagu pertama yang layak bersaing dalam Semi Final Muzik-Muzik 36 (SFMM36) diumumkan, semalam.

Program variasi memaparkan carta mingguan lagu paling popular di Malaysia ini bakal memulakan pusingan separuh akhir untuk edisi ke 36 pada 31 Disember 2021 dan 1 Januari 2022.

Lagu Coretan Pilu (Datuk Awie), Bujang (Hael Husaini), Mimpi (Haqiem Rusli) dan Purnama (Naim Daniel) antara 10 lagu pertama terpilih untuk berentap dalam SFMM36.

Enam lagi lagu ialah Cinta Jangan Pergi (Azzam Sham), Chikadun (Floor 88), Lenyap (Usop), Penat (Andi Bernadee), Rindu Separuh Nyawa (Naqiu & Vanessa) dan Salahku (Yonnyboii) turut diumumkan secara langsung menerusi program Muzik-Muzik 36 TV3.

Secara keseluruhan, 30 lagu Muzik Muzik 36 bakal bertanding di pusingan separuh akhir bagi merebut peluang untuk beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu 36.

Jangan ketinggalan pengumuman 20 lagu pada episod seterusnya iaitu 28 November dan 5 Disember nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 5:45 PM