Siti Nordiana.
Siti Nordiana.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Siti Nordiana mempertahankan kemenangan menerusi kategori Artis Versatil Popular dan Penyanyi Wanita Popular Xiaomi pada Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34). 

Siti Nordiana atau mesra disapa Nana berkata, ia adalah hasil undian kelab peminatnya, Siti Nordiana FC.

"Mereka tetap setia pada saya. Saya sudah dikenali sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara. Apa yang perlu dilakukan kini ialah menambah baik apa yang ada. Dari segi apa sahaja pun agar apa yang saya beri berbaloi dengan apa yang mereka undi saya.

"Dalam kategori Artis Versatil pula, pada saya bukanlah saya mengalahkan Erra Fazira, Janna Nick, Mira Filzah dan Sissy Iman. Mereka yang tercalon semuanya versatil dan masing-masing ada kelebihan sendiri. Cuma malam ini rezeki itu berpihak kepada saya," katanya.

Kejayaan merangkul trofi ABPBH 34 adalah hadiah hari jadi Nana yang akan disambut pada 22 November ini.

Menerusi kategori Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Nana menewaskan Wany Hasrita, Ernie Zakri, Sissy Iman dan Wany Kayrie.

Dalam masa sama, Nana bakal tampil berduet dengan penyanyi Bunga dalam single yang akan dikeluarkan pada bulan ini juga. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 10:31 AM