Shandy Aulia
Shandy Aulia
Agensi

Jakarta: Pelakon Indonesia, Shandy Aulia, 34, disiasat dan dipanggil memberi keterangan polis selepas didakwa terbabit dalam kes mempromosi judi dalam talian, semalam.

Shandy disoal siasat di Balai Polis Metro Jaya, di sini, selama tiga jam dan memberikan kerjasama baik sepanjang proses itu.

Pelakon filem Eiffel I'm in Love itu berkata, dia tidak berdepan masalah dengan siasatan itu, malah dia akur perlu beri kerjasama demi kelancaran kes terbabit.

"Oh tidak. Saya tidak rasa terganggu pun dan ia (siasatan) memang perlu dijalankan," katanya ringkas kepada media ketika ditemui selepas proses siasatan itu tamat.

Terdahulu, wanita dikenali Laura Aprilya Bakkara membuat laporan polis pada 26 Ogos lalu mendakwa Shandy terbabit dalam aktiviti perjudian dalam talian itu.

Dalam pada itu, pelakon terbabit juga enggan mengulas mengenai dakwaan rumah tangganya dengan suami David Herbowo kini berantakan.

"Kalau soal kehidupan peribadi, mohon jangan tanya. Sebagai figura awam, memang tidak akan terlepas pertanyaan itu.

"Tapi memandangkan ia terlalu peribadi, jadi saya tidak mahu jawab apa-apa," katanya selepas media cuba mendapatkan kesahihan dakwaan itu.

Bulan lalu, Shandy mohon diberi ruang dan privasi selepas khabar angin mengenai perceraian dengan David tersebar sejak 7 Oktober lalu. Kediamannya turut diserbu pemberita sebaik dakwaan itu tercetus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 9:32 AM