Agensi GOLDMEDALIST maklumkan tuduhan terhadap Seo Ye Ji oleh Yuhan Care tiada bukti.
Agensi GOLDMEDALIST maklumkan tuduhan terhadap Seo Ye Ji oleh Yuhan Care tiada bukti.

Annyeonghaseyo! Agensi GOLDMEDALIST tampil mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan mahkamah kes saman jenama Yuhan Care terhadap artis naungannya yang juga pelakon, Seo Ye Ji.

Khamis lalu, mahkamah memutuskan pelakon terbabit tidak bertanggungjawab terhadap penalti dan kerugian mengenai dakwaan melanggar kontrak jenama itu.

"Pada 10 November lalu, kami mengesahkan bahawa tuduhan dilontarkan terhadapnya dalam kes saman dibuat Yuhan Care termasuk keganasan di sekolah dan tidak mempunyai bukti.

"Bagaimanapun, penting untuk dijelaskan bahawa tuduhan itu berpunca daripada pengiklan hilang kepercayaan. Kami diminta mengembalikan bayaran untuk model mengikut kontrak," katanya.

Agensi itu bagaimanapun bertegas bahawa segala syak wasangka yang tercetus adalah tidak benar sama sekali. GOLDMEDALIST nekad mengambil tindakan undang-undang jika ada pihak keruhkan keadaan.

"Kami mempertimbang penyelesaian mengikut undang-undang terhadap isu itu. Kami mohon kerjasama semua untuk menghindar tuduhan tidak berasas serta mengkritiknya secara sembarangan," katanya.

Terdahulu, pada 2021, Seo Ye Ji berdepan kontroversi berhubung percintaannya dengan Kim Jung Hyun. Satu demi satu tuduhan lain muncul termasuk dia terbabit keganasan di sekolah.

Akibatnya, Yuhan Care yang mengikat kontrak dengan pelakon itu nekad tamatkan khidmatnya sebagai model mereka. Dia juga sudah dibayar sebanyak RM1.6 juta pada pertengahan 2020.

Jenama itu memfailkan saman terhadap Seo Ye Ji dan agensinya atas tuduhan pelanggaran kontrak. Mereka menuntut RM4.6 juta ganti rugi disebabkan kes terbabit mencalar reputasi syarikat itu.

Bagaimanapun, mahkamah baru-baru ini memutuskan agensi itu perlu membayar RM815,000 saja kepada Yuhan Care. Ia selepas mengambil maklum mengenai klausa dalam kontrak mereka.

Menurut klausa itu, 50 peratus daripada bayaran kepada model perlu dikembalikan sekiranya pengiklanan dibatalkan selepas model sudah menerima bayaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 6:47 AM