FOTO kenangan Jaafar bersama pelakon-pelakon drama Cili Padi.
FOTO kenangan Jaafar bersama pelakon-pelakon drama Cili Padi.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Jaafar Onn menerusi Facebooknya menyarankan agar drama lama lakonannya, Cili Padi akan diulang siar.

Dalam hantaran sama, Jaafar juga memaklumkan mengenai sambutan dan permintaan daripada banyak pihak yang suka dengan drama popular tahun 1990-an itu.

"Memandangkan banyak permintaan dan siaran TV3 pun banyak ulang tayang drama lama, apa kata tayang semula drama Cili Padi. Ramai suka," tulisnya.

Jaafar ketika dihubungi berkata, rata-rata ramai peminatnya yang membesar ketika zaman kegemilangan drama itu menyarankan agar ada kesinambungan atau dibuat semula.

"Dari dulu sampai sekarang, drama Cili Padi memang popular. Sejak saya aktif di TikTok dan buat secara langsung di media sosial, ramai yang memberi respon dan mencadangkan agar Cili Padi ditayangkan semula, atau dibuat semula.

"Saya kata, kesemua pelakon kanak-kanak pada zaman itu kini sudah dewasa dan berkeluarga. Jadi, peminat-peminat ini menyarankan agar kekalkan watak Cikgu Jaafar sebagai cikgu bersara atau penyelia kolej.

"Dari situ, dapat dilihat bagaimana hubungan antara Cikgu Jaafar dengan pelajar-pelajarnya walaupun mereka sudah berkeluarga," katanya.

Berkongsi mengenai penghasilan Cili Padi, pada awalnya ia hanya diterbitkan sebagai telefilem untuk slot Cerekarama TV3.

"Idea untuk drama itu pada awalnya berlaku kerana rasa bersalah pengarahnya, Aziz M Osman kepada saya. Ketika saya berlakon filem XX Ray dan menjalani rangka promosi di Singapura, Aziz minta maaf kerana nama saya 'hilang' daripada kredit nama pelakon.

"Jadi, dia tak mahu saya berkecil hati dan akan terbitkan drama khas untuk saya iaitu Cili Padi. Daripada telefilem, ia dikembangkan menjadi drama bersiri," katanya.

Selain Jaafar, Cili Padi turut dibintangi barisan pelakon antaranya Melissa Saila, Anne Ngasri, Tam Suhaimi, dan Nik Fariz Nik Fadzil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 1:42 PM