Syafil Syazwan Jefri

Lagu: Bang Ojek

Penyanyi: Upiak ft Harry Apak

Komposer: Harry Khalifah

Lirik: Upiak

Terbitan & edaran: MVM Music

SIAPA mampu melupakan lagu Tak Tun Tuang nyanyian penyanyi dari Indonesia, Upiak? Gelagat Upiak yang bersahaja sangat mencuri tumpuan peminat muzik.

Terkini, Upiak muncul dengan single terbaharu berjudul Bang Ojek, menampilkan Harry Khalifah atau Apak.

Bang Ojek adalah karya ciptaan Harry Apak sendiri manakala liriknya ditulis oleh Upiak.

Dari segi konsep, ia lagu bergenre pop yang sangat ‘catchy’, rancak dan meriah. Sejujurnya, setiap yang mendengar tentunya akan tersenyum dengan melodi dan lirik lagu ini.

Ada beberapa bahagian lagu kedengaran seperti lagu festival yang sesuai untuk acara keramaian.

Upiak masih mengekalkan identitinya yang lucu dan bersahaja dalam nyanyiannya. Bukan sekadar nyanyian, Upiak menyampaikan lagu ini umpama sebuah muzikal.

Dari segi lirik, ia bercerita mengenai karakter wanita jatuh hati dengan penunggang motosikal ojek atau teksi motosikal yang popular di Indonesia.

Dalam lagu Bang Ojek, si wanita merayu penunggang yang digelar sebagai Bang Ojek untuk jatuh cinta dengannya.

Video muziknya tak kurang hebat menampilkan Upiak bersama ‘Bang Ojek’ yang dikejarnya dan penuh dengan drama serta warna.

Sekali mendengar rasanya seperti tidak cukup kerana Bang Ojek akan terus diputar dan melekat di dalam kepala setiap yang mendengar.

Di YouTube, video muzik Bang Ojek sudah ditonton lebih 109,000 kali sejak dilancarkan empat minggu lalu manakala video liriknya pula diulang tonton lebih sejuta kali.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 6:05 AM