ANJANG Aki.
ANJANG Aki.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Walaupun sedih, keluarga Allahyarham Datuk Baharuddin Omar, 85, bersyukur arwah pergi dengan tenang.

Anaknya Nurul Asyikin berkata, Allahyarham tidak menunjukkan sebarang petanda bahawa dia bakal meninggalkan mereka.

"Tiada sebarang permintaan atau tanda-tanda pun dia tunjukkan sebelum pergi. Ayah baru saja lepas makan kemudian dia baring untuk rehat.

"Ayah pergi pun memang sangat mudah. Dia seperti sedang tidur saja," katanya kepada Harian Metro.

Baharuddin yang sinonim dengan watak Anjang Aki itu meninggal dunia akibat sesak nafas di kediamannya di Shah Alam, jam 6.30 petang, hari ini.

Berita pemergiannya disahkan isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar Nazariah, 66.

Beliau berkata, suaminya meninggal dunia bukan disebabkan Covid-19, tetapi Allahyarham menghidap penyakit pembuluh darah bengkak.

Allahyarham meninggalkan tujuh cahaya mata dan dua anak tiri. Jenazahnya dijangka akan dikebumikan di Sungai Tua, Batu Caves, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 10:15 PM