KENDERAAN memasuki dari Singapura Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. FOTO Arkib NSTP
KENDERAAN memasuki dari Singapura Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan membuka kesemua kaunter di dua pintu masuk negara, di Johor bermula Jumaat ini bagi memudahkan rakyat negeri itu pulang mengundi, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram.

Pengarah JIM Johor Baharuddin Tahir berkata pihaknya memberikan komitmen sepenuhnya, bagi memastikan kelancaran pulang pemilih yang tinggal dan bekerja di Singapura, untuk mengundi pada Sabtu ini.

Bagaimanapun beliau berkata tiada kaunter khas akan dibuka untuk pengundi di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

"Tiada kaunter khas untuk pengundi. Komitmen JIM ialah buka semua kaunter bermula Jumaat, iaitu sehari sebelum hari mengundi bagi kedua-dua PRK," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Baharuddin berkata secara keseluruhan, terdapat sebanyak 236 kaunter masuk dan keluar imigresen di CIQ BSI yang terdiri daripada kaunter motosikal (100), kereta (60), bas (36) dan autogate (40).

"Di KSAB pula, terdapat 162 kaunter masuk dan keluar dengan kaunter motosikal (50), kereta (48), bas (52) dan autogate (12)," katanya.

Baharuddin berkata jabatan itu akan menempatkan seramai 2,000 pegawai dan anggota JIM untuk bertugas di kedua-dua pintu masuk itu, dengan pengoperasian pada kadar 85 peratus.

PRK Parlimen Pulai dan PRK Dun Simpang Jeram dijalankan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.

SPR menetapkan pengundian awal hari ini dan hari mengundi pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 5:01 PM