MAYAT lelaki lengkap berpakaian ditemui dalam Proton Iswara di kawasan semak dekat Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, 9.20 pagi tadi. Foto Nik Abdullah Nik Omar
MAYAT lelaki lengkap berpakaian ditemui dalam Proton Iswara di kawasan semak dekat Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, 9.20 pagi tadi. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Rosliza Mohamed


MAYAT lelaki dipercayai berusia 30-an lengkap berpakaian dengan muka bengkak, pipi lebam dan berbau ditemui dalam Proton Iswara di kawasan semak dekat Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu.

Mayat ditemui anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Baharuddin Che Mat, 60, yang melakukan rondaan di kawasan berkenaan, 9.20 pagi tadi.

Baharuddin berkata, sebelum kejadian, dia bersama dua rakannya meronda kawasan itu yang menjadi laluan ke perumahan PR1MA.

"Saya curiga dengan kereta itu kerana sudah dua hari ia diletakkan di situ. Mulanya saya ingat kepunyaan orang yang pergi menjerat burung atau mengail di kawasan tali air berdekatan.

"Apabila saya dekati, nampak mayat lelaki itu terbaring di tempat duduk pemandu lengkap berpakaian, namun sudah berulat di bahagian pinggang serta dihurung lalat.

"Saya jerit memanggil rakan saya dan kami segera maklumkan polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Menurutnya, ia pengalaman pertamanya menemui mayat sepanjang setahun bertugas di situ.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk dibedah siasat.

"Setakat ini punca kejadian dan identiti mangsa belum dikenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 2:01 PM