Rebbeca Nur Islam bersama suaminya, Datuk Nor Azam Sulaiman.
Rebbeca Nur Islam bersama suaminya, Datuk Nor Azam Sulaiman.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Rebecca Nur Al Islam bersyukur apabila suaminya yang sebelum ini dijangkiti virus Covid-19 tahap empat kini sudah pulih dan berada di pangkuannya.

Rebecca yang turut positif Covid-19 bersama enam anaknya sebelum ini berkata, suaminya, Datuk Nor Azam Sulaiman kini bebas dari Covid-19 tetapi perlu mendapatkan rehat yang cukup.

"Suamiku syurgaku sudah pulang ke pangkuan keluarga. Alhamdulillah syukur teramat sangat. Suami sudah beransur sihat, cuma cepat penat dan tak boleh banyak cakap.

"Doktor juga tak izinkan dia buat apa-apa dulu dan harus berehat tenang," katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Menerusi hantaran itu, Rebecca turut berkongsi foto bersama suami menyambut Aidiladha semalam. Menurut Rebecca, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang menjaga suaminya dengan baik.

"Terima kasih buat semua keluarga, teman-teman dan juga semua pengikut saya yang tidak putus berdoa untuk suami saya serta kami sekeluarga. Terima kasih juga untuk semua petugas barisan hadapan dan semua doktor yang terbabit dalam memastikan suami dan saya sekeluarga sihat," katanya.

Terdahulu Rebecca mendedahkan dia dan tujuh anggota keluarga serta tiga pembantu rumahnya dijangkiti virus itu dan suaminya dilaporkan kritikal apabila berada di tahap empat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 3:42 PM