Sudirman Mohd Tahir


LUNCAI Emas Sdn Bhd dengan kerjasama SND Soul Entertainment melancarkan single terbaharu, Hasbi Rabbi nyanyian Siti Nordiana dan berkolaborasi dengan Ustaz

Shahrizan.

Lagu ini adalah single dari album terbaharu yang juga album kedua Siti Nordiana berkonsepkan ketuhanan iaitu album Zikir Ketuhanan selepas album Anakku Sayang.

Istimewanya, zikir atau selawat yang dialunkan adalah munajat harian yang selalu didengari atau dibaca, namun diolah dalam melodi yang lebih indah dan mampu membuat pendengar menginsafi diri dengan alunan indah kalimah suci dan mulia.

Siti Nordiana, 37, atau mesra disapa Nana berkata, nyanyian zikir Hasbi Rabbi bersama Ustaz Shahrizan memberikan pengalaman baharu buat dirinya.

"Alhamdulillah, sepanjang proses rakaman boleh dikatakan ia adalah pengalaman yang banyak mengajar saya. Ustaz

Shahrizan juga banyak memantau dari segi nyanyian dan sebutan.

"Malah, ketika rakaman Ustaz Shahrizan banyak memberikan ilmu dan tunjuk ajar. Contohnya, mengenai nyanyian dan maksud selawat yang saya kurang pasti, dia akan jawab dan memberikan pengisian rohani ketika merakamkan lagu Hasbi Rabbi ini.

"Kalau dalam kehidupan seharian, zikir munajat yang saya amalkan adalah al-Mathurat iaitu al-Mathurat Sughra dan zikir yang lain," katanya.

Dalam masa sama, Nana berkongsi dia tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih, malah sehingga menangis setiap kali berzikir.

"Sudah tentu kalau saya berzikir, saya akan menangis. Ada masa saya akan menangis mengenangkan dosa sendiri. Kita manusia tidak sempurna, pasti ada dosa dan kesilapan yang kita lakukan. Waktu itu saya akan menangis.

"Saya juga mudah tersentuh apabila setiap kali mendengar selawat dan zikir dalam bentuk lagu atau melodi. Saya sukakan muzik jadi ia dekat dengan diri. Apabila melodi dan lagu itu kena dengan situasi atau liriknya mengena, dengan mudahnya saya menitiskan air mata," katanya.

Ditanya mengenai lagu ketuhanan dan kerohanian dalam pasaran muzik tempatan, Nana berkata, ia tidak terbatas, malah turut diterapkan dalam genre muzik lain.

NANA muncul dengan single Hasbi Rabbi.
NANA muncul dengan single Hasbi Rabbi.

"Bagi saya lagu kerohanian sudah banyak dikeluarkan. Alhamdulillah bukan sekadar melodi dan ia tidak terbatas. Malah, kini lagu rap dan pop juga menjentik lirik kerohanian. Sangat bagus bila anak-anak muda turut dengar, malah hafal. Ia dapat memberikan manfaat dengan mengamalkan lirik lagu kerohanian terbabit.

"Malah, langkah membuat lagu yang dekat dengan anak muda sangat bagus. Lagu pop dan balada, tapi menggunakan lirik kerohanian. Sangat digalakkan untuk buat banyak lagi kerana akan ada orang yang tersentuh bila mendengar.

"Macam saya, kerap tersentuh apabila mendengar lagu Maher Zain dan Opick. Lagu yang banyak beri ketenangan pada jiwa yang tengah 'down'. Apabila dengar, ia seperti memberi semangat balik kepada saya," katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana sambutan lagu Hasbi Rabbi dan lagu ketuhanan lain yang dinyanyikan, Nana bersyukur dia terus mendapat sokongan peminat.

"Peminat sangat suka apabila saya menyanyikan lagu kerohanian dan zikir. Saya pernah ada album zikir yang dicampur dengan lagu 'lullaby' untuk anak-anak. Kini, kali kedua saya merakamkan lagu kerohanian, peminat sangat menyokong dan suka.

"Malah, ada yang berterima kasih kerana waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya keluarkan lagu begini, ia dapat memberi ketenangan pada jiwa dan mereka dapat alunkan zikir dan selawat bersama saya. Masing-masing dapat pahala," katanya.

Dalam masa sama, Nana berharap dapat menghasilkan album zikir penuh pada masa akan datang.

"Insya-Allah, kalau ada peluang saya nak buat album zikir sepenuhnya. Kerana bagi saya, lagu zikir ini akan memberikan ketenangan hati. Di samping itu akan dapat memberikan manfaat kepada pendengar dan berkongsi bakat yang Allah SWT bagi untuk menenangkan hati peminat. Juga memberikan kegembiraan kepada mereka dengan alunan zikir. Semoga bermanfaat kepada pendengar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:30 AM