SINGLE baru Al-Manna penuhi selera generasi muda dengan muzik  berunsur ketuhanan dan kerohanian.
SINGLE baru Al-Manna penuhi selera generasi muda dengan muzik berunsur ketuhanan dan kerohanian.
Oleh Nor Akmar Samudin


Atas dasar minat dan perjuangan, kumpulan Al -Manna bergerak sendiri meneruskan cita-cita mereka untuk memartabatkan lagu nasyid.

Sumber kewangan mereka adalah daripada syarikat yang ditubuhkan pada 2012 iaitu Al-Manna Solution dengan tiga teras perniagaan iaitu kumpulan nasyid, motivasi dan perundingan serta jualan busana Islamik.

Al-Manna yang dianggotai Fahimi, Firdaus, Shah dan Mior tinggal berjiran sejak kecil di Datuk Keramat, Kuala Lumpur dan hubungan yang dianggap seperti saudara kandung itu akrab hingga hari ini.

Fahimi selaku ketua kumpulan berkata, walaupun baru sekarang mereka dikenali, sebenarnya Al-Manna yang bererti manisan itu mula bergerak sejak 1997 lagi.

Ketika itu mereka masih belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat, Kuala Lumpur.

“Selepas tamat sekolah, kami ­ingin menjenamakan semula Al-Manna. Kami nekad berkecimpung secara serius dalam industri muzik nasyid tempatan dan me­nyedari kami perlu bergerak sendiri, tertubuhlah Al-Manna Solution.

“Setiap keuntungan daripada hasil perniagaan itu akan dilabur untuk meluaskan tapak Al-Manna dalam industri muzik tempatan, selain memperbanyakkan lagi jumlah lagu sedia ada.

“Alhamdulilah kami menerima maklum balas baik daripada pendengar dan sering mendapat undangan mengadakan persembahan pada majlis dan program,” katanya.

Fahimi berkata, tujuan utama penubuhan Al-Manna ialah untuk mendekati dan memenuhi selera generasi baru supaya mereka menggemari muzik berunsur ketuhanan dan kerohanian.

Selain itu, mereka juga mahu mengembalikan zaman kegemilangan irama nasyid yang kini semakin kekurangan pelapis.

Al-Manna juga beruntung kerana mendapat bimbingan daripada penyanyi nasyid dan komposer, Bazli Hazwan daripada kumpulan UNIC yang membantu membuat persediaan awal untuk memasuki industri muzik tanah air.

Bazli juga memainkan peranan besar dalam penghasilan album sulung Al-Manna berjudul Selawat Kita Semua tahun lalu yang mengetengahkan zikir dan selawat sebagai taruhan melodi utama.

Kini selepas setahun, Al-Manna muncul dengan ­single terbaru berjudul Ajarkan Aku Setia ciptaan Bazli.

Lagu itu turut menampil­kan Ustaz Elyas Ismail sebagai artis jemputan.

Menurut Fahimi, single itu sepatutnya keluar lebih awal, tetapi kerana menggunakan bajet sendiri maka baru tahun ini hasrat itu dapat dilaksanakan.

Bersama kemunculan single itu, mereka juga merakamkan klip video yang diarahkan Azam Rasid dari Juxtapose Production.

Melihatkan tayangan klip video itu pada pelancaran single itu baru-baru ini, ternyata Al -Manna bersungguh-sungguh dalam kerja seni mereka.

“Kami ingin membuktikan kesungguhan kami dengan harapan setiap paparan yang ditunjukkan dalam klip video itu dapat memberi manfaat kepada peminat. Ia adalah ilham kami bersama dengan Azam.

“Al-Manna dalam proses untuk menghasilkan single seterusnya dan kali ini kami akan mencipta lagu serta lirik sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Oktober 2015 @ 10:43 AM