Mark Hoppus
Mark Hoppus
Agensi

Los Angeles: Penyanyi Blink-182, Mark Hoppus, 49, sangat takut dan rasa perit apabila disahkan menghidap kanser.

Hoppus yang tidak mendedahkan dia menghidap kanser apa berkata, dia kini menjalani proses rawatan termasuk kemoterapi dan berharap kesihatannya akan kembali pulih secepat mungkin.

"Saya menjalani kemoterapi sejak tiga bulan lalu. Saya ada kanser. Ia perit dan saya sangat takut.

"Pada masa sama, saya bersyukur terhadap doktor, keluarga dan rakan-rakan yang memberi sokongan luar biasa untuk saya menghadapinya.

"Saya masih ada beberapa bulan untuk menjalani rawatan itu tapi saya kekal berharap (sembuh) dan positif. Tak sabar untuk bebas kanser sepenuhnya dan jumpa anda di konsert pada masa akan datang," katanya.

Rakannya yang juga bekas pemain gitar Blink-182, Tom DeLonge turut memberi kata-kata semangat buat Hoppus untuk terus kuat menghadapi dugaan itu.

"Dia kuat dan seorang insan luar biasa yang pasti boleh menempuhi dugaan sukar ini dengan hati cekal," katanya.

Hoppus menubuhkan Blink-182 pada pertengahan 1990-an bersama DeLonge dan pemain dram, Scott Rayner.

Mereka melancarkan album pengenalan berjudul Cheshire Cat pada 1995.

Band terbabit paling dikenali dengan lagu hit All the Small Things dan menjadi kegilaan seluruh dunia pada era itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 11:58 AM