NURHIDAYAH menunjukkan pengesahan dari hospital mengenai sebut harga bagi kos membeli ubat Keyturda bernilai RM68,400. FOTO Ahmad Ismail
NURHIDAYAH menunjukkan pengesahan dari hospital mengenai sebut harga bagi kos membeli ubat Keyturda bernilai RM68,400. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


“SAYA tak sangka dugaan datang kembali secepat ini,” kata Nurhidayah Khalid, 29, yang menghidap kanser limfoma tahap tiga hingga mengakibatkan dua kelenjar di leher kirinya membengkak.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia gagal membendung perasaan sedihnya kerana mendapat khabar sedih biarpun baru lapan bulan selesai menjalani rawatan kanser.

“Saya sangkakan diri ini sudah sihat macam dahulu. Walaupun ada dimaklumkan risiko diserang semula, namun saya tak sangka secepat ini.

“Ini kerana, saya baru lapan bulan selesai menjalani rawatan itu dan disahkan sembuh,” katanya sebak ketika ditemui di Kampung Jeram Masjid, Segamat.

Katanya, dia sempat menjalani tempoh lapan bulan hidup seperti manusia normal selepas selesai menjalani rawatan kanser.

“Malah doktor turut memberitahu bahawa harapan saya untuk meneruskan kehidupan semakin tipis.

“Tapi bila terpandangkan wajah anak-anak yang masih kecil dan perlukan kasih sayang seorang ibu, saya tak ada pilihan lain kecuali harus kuat melawannya,” katanya.

Nurhidayah berkata, ketika kali pertama disahkan menghidap kanser April 2017, dia kerap demam dan letih.

“Saya dapat tahu penyakit ini apabila melihat keadaan leher di sebelah kanan semakin membengkak.

“Sebelum ini, memang ada rasa timbulan kecil, tapi saya sangkakan ia masalah biasa di bahagian urat atau otot.

“Tidak sangka doktor kata itu adalah kanser limfoma dan memerlukan pembedahan segera kerana saiz kelenjar semakin membesar,” katanya.

Nurhidayah berkata, kelenjar sebesar 18 sentimeter sudah dibuang selepas menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 12 sesi dan selesai pada awal 2018.

“Bagaimanapun, pada Oktober lalu, saya rasa simptom sama dan melihat leher sebelah kiri mempunyai dua biji kelenjar.

“Saya segera merujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan terkejut kerana doktor kata ia kanser sama menyerang saya dan sudah berada pada tahap tiga.

“Meskipun seakan hilang harapan dan semangat, tetapi suami (Mohd Arif Amat Sabilam, 37) tak pernah jemu memberikan kekuatan dengan berkongsi kisah-kisah bekas pesakit kanser yang pernah kritikal dan berjaya pulih.

“Malah, bila lihat suami bantu jaga dua anak kami (Muhammad Adam Harris, 7, dan Muhammad Afi Harraz, 3) sambil berpesan supaya tidak nakal kerana ibu mereka sakit, perasaan saya terus sebak,” katanya.

Katanya, melihat kekuatan suaminya, dia bersemangat melawan perasaan kerana sedar kehadirannya masih diperlukan keluarga.

Menurutnya, doktor ada mendedahkan rawatan terbaharu iaitu penggunaan ubat Keyturda 10MG, namun kos itu sangat tinggi.

“Rawatan ni masih baru dan setakat ini doktor kata ia menunjukkan hasil positif kepada dua pesakit kanser sebelum ini dan doktor sarankan saya ambil empat botol.

“Sebotol sahaja dah berharga RM17,100 dan jumlah keseluruhan diperlukan ialah RM68,400,” katanya.

Dengan pendapatan suami bekerja sebagai pemandu lori, sukar bagi mereka mengumpulkan wang sebanyak itu dalam masa singkat.

“Namun saya bersyukur kerana kelab kanser dan beberapa individu ada menghulurkan sumbangan.

“Sekarang sudah berjaya mengumpulkan sumbangan RM30,000 dan saya masih berusaha mendapatkan sebahagian lagi.

“Buat masa ini, doktor hanya memberikan ubat untuk kuatkan antibodi bagi melambatkan pertumbuhan kanser ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh memberikan sumbangan di akaun Maybank 1514-182-325-92 atas nama Nurhidayah Khalid.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 6:37 PM