WANY selesai dapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
WANY selesai dapat suntikan dos pertama vaksin Covid-19.
Najiy Jefri


BAGI bersama-sama membendung penularan Covid-19, penyanyi Wany Hasrita menasihati orang ramai supaya tidak ragu-ragu mendapatkan vaksin sebagai langkah pencegahan daripada dijangkiti virus berbahaya itu.

Wany yang selesai menjalani suntikan vaksin Astrazeneca di Pusat Dagangan Dunia (WTC) baru-baru ini mengakui teruja selepas mendapatkan dos yang pertama.

"Meskipun setiap tahun saya akan mendapatkan suntikan influenza, tetapi debaran menjalani suntikan vaksin Covid-19 agak berbeza serta lebih mendebarkan.

"Barangkali, saya datang pada masa itu dengan pengharapan agar kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini dan seterusnya boleh pulang ke kampung untuk berjumpa orang tua serta sanak saudara, termasuk dapat mencium tangan mereka.

"Alhamdulillah proses suntikan vaksin berjalan dengan lancar, walaupun ramai yang beratur bagi mendapatkannya. Tapi, situasi memang tenang. Sementara menantikan temu janji, saya menunggu di dalam kereta dan hanya turun ke dewan 15 minit sebelum temu janji.

"Selain itu, proses di WTC juga sangat teratur. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, ramai kakitangan yang sedia membantu. Selepas kira-kira sejam menunggu, saya selesai mendapatkan suntikan vaksin dos pertama," katanya.

Menurut Wany lagi, dia bersyukur hanya mengalami simptom seperti demam ringan, namun selepas mengambil pil penahan sakit, keadaan kesihatannya kembali pulih seperti sedia kala.

"Saya ambil suntikan pada sesi petang, namun kira-kira jam 3 pagi, saya berasa seram sejuk dan badan sedikit panas. Jadi, saya terus bangun dan mengambil pil penahan sakit.

"Tidak lama selepas itu, badan kembali normal. Tapi rasa tidak selesa memang ada dan pergi hampir sehari juga saya mengalaminya. Bagaimanapun, sebelum tidur keesokannya, saya menelan lagi pil penahan sakit. Alhamdulillah, apabila bangun dari tidur, kesihatan saya sudah pulih.

"Saya tahu ramai yang masih ragu-ragu lagi mengenai vaksin Covid-19 ini. Malah, ada yang mengambil sikap ingin menunggu. Nasihat saya, jangan ragu-ragu untuk mendapatkannya (vaksin).

"Walaupun ia tidak menyebabkan tubuh kita kebal daripada terkena virus itu, namun setidak-tidaknya ia boleh membantu mengurangkan simptom yang lebih teruk.

"Tak perlu rasa takut kerana ia baik untuk keselamatan kita. Lagipun pengambilan vaksin boleh mencegah kita daripada terkena gejala lebih teruk, sekiranya dijangkiti. Sekurang-kurangnya tidaklah sampai kita perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

Tambah Wany, suntikan vaksin adalah salah satu ikhtiar supaya dapat mengurangkan risiko dijangkiti wabak berkenaan tanpa perlindungan dan ketahanan tubuh badan.

"Ini adalah salah satu usaha yang boleh kita buat demi keselamatan diri sendiri dan orang yang kita sayang, terutama mereka di sekeliling kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 6:44 AM