SITI Sarah
SITI Sarah
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Perkongsian penyanyi Siti Sarah memasak juadah sotong masak hitam dikecam netizen yang mendakwa dia memperlekehkan hukum Islam kerana memakan dakwat sotong yang dikatakan haram.

Bagi mendapatkan pencerahan mengenai komen netizen itu, Sarah meminta suaminya yang juga pelawak Shuib Sepahtu untuk bertanya kepada Imam Muda Asyraf mengenai perbuatan itu.

Menerusi Instagram, Sarah turut berkongsi rakaman suara Asyraf dan berharap memberi manfaat kepada semua.

Asyraf menjelaskan hukum memakan dakwat sotong adalah harus, malah dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut disertakan penjelasan itu.

Sarah berkata, dia bukanlah seorang yang pandai dan yang perlu belajar.

Namun, dia kecewa kerana netizen yang kononnya tahu semua perkara dengan mudah menilai seseorang itu bodoh.

"Jaga adab bila nak cakap. Cuba kalau saya bodoh-bodohkan orang yang saya tak kenal? Sudah tentu ramai melenting.

"Bila saya sendiri pun keliru ada teguran seperti itu, terus minta tolong Shuib bertanya kepada Imam Muda Asyraf. Terima kasih Imam Muda sudi bagi pencerahan. Jangan pula ada yang nak pertikai lagi sebab Mufti sendiri ada beri penjelasan di laman web. Boleh baca di situ hukum makan dakwat sotong adalah harus," katanya.

Menurut Asyraf, setiap apa yang berada dalam perut binatang sememangnya sudah dikategorikan najis, tetapi dakwat itu tidak haram kerana ia sudah menjadi sebahagian sotong.

"Memang kalau ikut Mazhab Shafiedan sebahagian fakwa pun kata dakwat sotong dikategori sebagai najis. Setiap dalam perut binatang sama ada ikan atau apa saja termasuk dakwat sotong adalah najis.

"Cuma pandangan-pandangan zaman ini, antaranya sebahagian ulama contohnya Mufti Wilayah Persekutuan kata tidak haram kerana ia bukan najis sebab sudah jadi sebahagian dari sotong.

"Jadi, untuk selamat kalau sotong itu dimasak terus dengan dakwat harus bersih, tak ada masalah," katanya.

Terdahulu, video sotong masak hitam di Instagram Sarah menerima kecaman dan turut menggelarnya bodoh kerana tidak mengambil tahu dan kononnya memperlekehkan hukum agama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 2:25 PM