MK mohon doa terbaik buat dirinya.
MK mohon doa terbaik buat dirinya.
Sudirman Mohd Tahir


APA saja yang dilakukan MK yang juga anggota kumpulan hip hop K-Clique ini pasti meraih perhatian, tular dan sohor kini.

Aura dan penangan jejaka kelahiran Tawau, Sabah ini cukup hebat.

Ini termasuklah ketika artis yang sinonim dengan imej 'bad boy'

itu berkongsi gambar yang menampakkan sebahagian tubuhnya.

Malah, turut dikecam apabila memakai gelang dan rantai emas.

Pelantikan MK, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan sebagai duta pusat akademik dan tuisyen PTTI Group Sdn Bhd baru-baru ini, turut dipertikaikan apabila dia dianggap kurang sesuai dengan imej yang dipaparkan.

Namun, MK yang menyertai kelas agama bersama jemaah tabligh di Jerantut, Pahang baru-baru ini dilihat sudah tidak memakai barang perhiasan itu.

MK berkata, dia lebih selesa jika perkara itu tidak diperkatakan secara umum selain berharap orang ramai mendoakan yang terbaik buat dirinya.

"Mengenai perkara ini (tidak mahu memakai gelang emas), doa saja yang baik baik. Apa yang baik kita jadikan teladan dan buruk pula sebagai sempadan. Saya tak boleh nak kata ya atau tidak, takut memakan diri. Biarlah ia terjadi tanpa perlu dipukul canang.

PERNAH mendapat keputusan baik dalam SPM.
PERNAH mendapat keputusan baik dalam SPM.

"Cuma seiring usaha memperbaiki diri, saya cuba jadi lebih baik daripada sebelum ini. Karakter saya dalam dunia hiburan masih sama seperti dulu. Pastinya setiap sudut kecaman dan kritikan itu saya akan nilai.

"Mana perlu dielak, saya akan cuba mengelaknya termasuk dalam soal imej diri. Saya tak pernah sempurna. Di luar konteks kerja seni hiburan, saya tetap manusia biasa yang mahu mencari keseimbangan hidup," katanya.

Mengenai serba serbi kisahnya yang menjadi ruang atau modal kecaman warganet, MK sudah mula terbiasa dengan rentak sebegitu.

"Saya anggap rezeki dalam hal apa dikongsi di media sosial tular dan mendapat perhatian. Dikecam itu biasalah. Macam jadi duta PTTI pun saya dipertikai kerana dianggap tak layak. Mereka hukum saya tanpa tahu latar belakang akademik saya. Sehingga ada anggap saya tak sesuai kerana imej yang dipaparkan ketika menjadi artis.

"Apa lebih utama peranan itu buat saya jadi lebih bertanggungjawab. Saya sendiri dapat membentuk diri ini untuk menjadi lebih baik dan berdisiplin. Tapi rezeki tak pernah salah alamat. Amanah ini akan dipikul sebaik mungkin.

"Dalam hidup ini, saya percaya kita tak boleh nak senang atau memuaskan hati semua pihak. Ada yang suka dan sebaliknya. Kepada yang menyukai kita pun belum pasti keikhlasannya. Tapi apa jua terjadi hidup harus diteruskan.

"Seperti dikatakan, mungkin imej atau cara saya pantas dihakimi. Saya tahu ada yang anggap saya menyerlahkan sisi

'bad boy' sekali gus dilihat bertentangan dengan visi PTTI yang menekankan hal akademik," katanya.

MK bersama Cikgu Fana.
MK bersama Cikgu Fana.

Ditanya mengenai latar belakang akademik dimilki, MK mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013.

"Saya mendapat 5 A dan 3 B dalam SPM. Saya pernah menuntut dalam pengajian diploma bidang perniagaan di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Kota Kinabalu, Sabah dari tahun 2012 hingga 2015.

"Secara peribadi, saya anggap keputusan dan tahap pendidikan itu paling baik saya pernah capai. Saya percaya ada yang lebih bagus dan cemerlang. Ketika itu memang bersemangat membuktikan kepada keluarga yang saya boleh buat. Alhamdulilah, ia menjadi kenangan manis untuk saya kenang,"

katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Fana berkata, mereka ada alasan konkrit memilih MK.

"Dalam hidup ini, kita pantas menghukum. 'Dont judge a book by its cover'. Kami di PTTI ada sebab memilih MK.

"Umum tahu dia ada pengaruh besar dan hebat sebagai anak seni. Lihat saja bagaimana setiap hantarannya di laman sosial mendapat perhatian dengan jumlah tanda suka dan tontonan ramai.

"Paling utama dia juga cemerlang dalam bidang akademik. Mendapat keputusan SPM (5 A dan 3 B ) itu saya kira cukup
hebat untuk anak muda berjiwa besar sepertinya,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 6:40 AM