PU Hafiz. FOTO IG PU Hafiz
PU Hafiz. FOTO IG PU Hafiz
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Saya tak sangka nama turut dikaitkan walaupun wajah saya tiada dalam foto yang tular itu," kata Pencetus Ummah (PU) Hafiz, 39, berhubung isu membabitkan Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 yang dihadirinya di sebuah hotel, pada 29 April lalu.

Selain PU Hafiz, majlis itu turut dihadiri beberapa artis tanah air seperti Caprice, Ashraf Muslim, Heliza Helmi, Iman Troye dan Mawar Rashid. Namun, kini pihak polis membuka kertas siasatan berikutan didapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

PU Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Mohd Haneefa dihubungi berkata dia hadir ke majlis itu untuk menjayakan aturcara program pengisian Ramadan seperti mengimamkan solat jemaah dan memberi tazkirah agama.

"Saya sampai di hotel itu, jam 6.30 petang. Alhamdulillah, saya dapati segala syarat SOP ketat ditetapkan dipatuhi oleh pihak hotel dan penganjur dengan begitu baik.

"Selama dua jam saya berada di majlis itu, sebelum pulang pada jam 8.30 malam, didapati secara keseluruhan semuanya sangat terkawal dan mengikut SOP.

"Tetamu tidak begitu ramai dan mereka semua membuat pengesahan di aplikasi My Sejahtera, periksa suhu badan, pakai pelitup muka dan hidung termasuk menjaga penjarakan fizikal satu meter. Situasi memang sangat terkawal ketika itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut PU Hafiz, pihak hotel dan penganjur tidak melanggar SOP langsung, namun dia tidak pasti ia berkemungkinan berlaku ketika proses mengambil foto yang dibuat dan kemudian, ditularkan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.

"Apa yang boleh saya kata, dakwaan berkaitan melanggar SOP itu tidak benar. Ia tidak berlaku pun,  cuma mungkin terlepas pandang ketika sesi mengambil foto. Namun, saya agak kesal kenapa tiba-tiba foto tular itu muncul dan siapa yang menularkannya.

"Bagaimanapun, saya bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan. Setakat ini, saya belum mendapat sebarang panggilan dari pihak berkuasa untuk membantu siasatan," katanya.

Menurut PU Hafiz, dia meninggalkan majlis itu lebih awal kerana perlu ke masjid lain untuk ceramah agama. Katanya, dia meninggalkan majlis ketika Heliza membuat persembahan nyanyian.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 yang diadakan di sebuah hotel, di sini, yang turut dihadiri beberapa artis.

Siasatan dijalankan selepas didapati berlaku pelanggaran SOP PKPB berdasarkan penelitian ke atas gambar yang tular dan mendapati wujudnya pelanggaran SOP penganjuran majlis sosial PKPB iaitu tiada penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, setakat ini beberapa individu dari pihak penganjur dan seorang dari pihak pengurusan hotel sudah dipanggil memberi keterangan.

Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) 2021.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 5:14 PM