RAF Yaakob. FOTO IG
RAF Yaakob. FOTO IG
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Kami dah bayar kompaun. Selepas ini jika ada majlis acara dan jika bergambar, kami pastikan akan jaga jarak dan jangan buka pelitup muka," kata suami kepada pelakon, Mawar Rashid iaitu Ahmad Faizal Yaakob atau Raf Yaakob, antara selebriti yang dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 di sebuah hotel, di sini, 29 April lalu.

Selain Raf dan Mawar, turut dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM19,000 itu ialah Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Iman Troye dan Nurin Afiqah Zulkifli.

Mereka dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Manakala Ariz Ramli daripada Syarikat Rindu Raudah Sdn Bhd selaku penganjur pula dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 kerana gagal memastikan tetamu memakai pelitup muka sepanjang majlis berkenaan berlangsung.

Raf ketika dihubungi berkata, mereka mengakui kesalahan yang dilakukan dan apa yang berlaku itu akan dijadikan pengajaran supaya ia tidak berulang.

"Salah tetap salah. Polis sudah siasat dan ada kesalahan kami tak pakai pelitup muka ketika bergambar dan kami dikenakan kompaun.," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pihak polis sudah membuka kertas siasatan berkaitan penganjuran Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021 di sebuah hotel, di sini, yang turut dihadiri beberapa artis.

Gambar yang tular menunjukkan beberapa artis melanggar SOP kerana tiada penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka ketika hadir ke majlis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tindakan itu diambil selepas mereka didapati melanggar SOP penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Kompaun itu dikenakan terhadap mereka selepas didapati gagal memakai pelitup muka semasa berada di hotel berkenaan untuk majlis terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan

  • 7 selebriti dikompaun berjumlah RM19,000 langgar SOP majlis sosial PKPB
  • Majlis berbuka puasa langgar SOP, penyanyi dan selebriti dipanggil
  • Polis siasat Majlis Berbuka Puasa dan Rapatkan Saf 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 10:38 PM