NORMAN harap program Kita Jaga Kita dapat sambutan.
NORMAN harap program Kita Jaga Kita dapat sambutan.
Norhayati Nordin

DI kala penularan pandemik Covid-19 belum reda di negara ini, pelbagai inisiatif cuba dilakukan untuk membantu golongan terjejas pendapatan terutama pada kalangan kumpulan B40.

Menyedari masih ada jalan penyelesaian yang boleh dilakukan, latihan kepakaran dan kemahiran kepada golongan muda dari kalangan keluarga kumpulan B40 diperluaskan di platform digital.

Bagi merealisasikan hasrat membantu rakyat tempatan yang terjejas bangkit menjana pendapatan secara perspektif baharu, Yayasan KRU tampil mengajak golongan belia dari kalangan keluarga kumpulan B40 menjadi sukarelawan untuk program Kita Jaga Kita.

Prihatin dengan situasi semasa yang mana ramai orang terjejas pendapatan akibat Covid-19, program Kita Jaga Kita ini akan diperkenalkan kepada rakyat Malaysia, tidak kira kaum dan agama pada 1Jun nanti.

Presiden Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, dalam Malaysia ini ada pelbagai etnik kaum dan kebanyakannya terjejas pendapatan kerana penularan pandemik. Jadi, usaha

dilakukan ini, sebagai inisiatif untuk membantu mereka.

"Namun, sebagai permulaan untuk menjayakannya kami di Yayasan KRU berasakan perlu mencari sukarelawan berminat daripada golongan belia kerana mereka adalah generasi pelapis negara.

"Bagaimanapun, program Kita Jaga Kita ini adalah berbentuk tajaan latihan jangka pendek dan sumbangan barangan teknologi maklumat bagi tujuan memperkasakan ilmu dan ekonomi golongan belia dari kalangan keluarga kumpulan B40.

"Melalui modul latihan disediakan, golongan belia ini diberi pendedahan untuk mempersiapkan diri mereka dalam usaha mencipta peluang ekonomi cara baharu iaitu di platform digital dan berteras kemahiran industri kreatif," katanya.

Menurut Norman, dengan menggunakan barangan teknologi maklumat yang diberikan itu, penerima sumbangan terbabit diwajibkan mengambil kursus-kursus latihan jangka pendek selama satu bulan di bawah tajaan Yayasan KRU secara dalam talian.

Katanya, sukarelawan yang menjadi pelatih itu akan dibimbing untuk menjadi 'influencer' atau pempengaruh bagi memulakan perniagaan mereka atau memajukan perniagaan sedia ada masing-masing.

Ujarnya lebih lanjut lagi, bagi memudahkan pelatih memahami selok-belok berhubung pemasaran digital, pihak yayasan turut menjalin kerjasama strategik dengan rangkaian platform digital dan e-dagang terkemuka.

"Dalam situasi norma baharu sekarang, banyak sudah berubah terutama dari aspek menjana ekonomi bagi membantu keluarga B40 keluar dari kepompong kemiskinan dan seterusnya ada sumber pendapatan yang baik dan memiliki kehidupan stabil.

"Apa yang pasti, kami di yayasan juga percaya program Kita Jaga Kita yang cuba dibuat ini mampu membantu masyarakat berdasarkan misi objektifnya. Program ini diyakini mempunyai impak tersendiri," katanya.

Program ini juga mendapat sokongan dari sektor swasta, ikon-ikon media dan sukarelawan berminat untuk menyemarakkan semangat keusahawanan pada kalangan belia B40.

Bagi orang ramai untuk menjadi sukarelawan untuk program ini boleh mendaftarkan diri melalui laman sesawang www.yayasankru.org. Untuk maklumat lanjut, email ke [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:30 AM