ALYAH
ALYAH
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Kami sedaya-upaya menyediakan segala dokumen perjalanan dan surat kebenaran daripada pihak berkuasa."

Itu kata penyanyi popular Datin Alyah bagi menjawab tuduhan warganet di Instagram yang dihantar menerusi mesej peribadi (DM) yang mendakwa dirinya melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ia susulan Alyah ke Langkawi bagi menjalani penggambaran video muzik lagu Thank You Allah dari 4 hingga 7 April.

"Sejak saya berada di Langkawi, pelbagai DM yang saya terima antaranya seperti yang saya muat naik di media sosial. Itu belum lagi nombor tak dikenali. Salam tidak apa pun tidak, terus maki hamun saya persoal itu dan ini mengenai SOP.

"Saya masih seorang penyanyi dan bekerja di bawah syarikat rakaman sendiri. Sebagai peniaga muzik saya harus mengeluarkan lagu bagi memastikan perniagaan ini berterusan. Ia bukan hanya pada halwa telinga sahaja, tapi pihak saya perlu juga mengeluarkan produk dalam bentuk visual juga.

"Pihak saya dan pasukan Like Music Sdn Bhd ke Langkawi kerana atas urusan kerja bagi menyiapkan video muzik lagu terbaru saya Thank You Allah. Apa yang diusulkan oleh anda yang macam tak puas hati terhadap saya, memang betul ia terjadi tapi semuanya atas pemintaan bagi menyiapkan video muzik terbaru saya. Saya tak naik kapal persiaran untuk suka-suka dan tidak berkeinginan pun ke Langkawi kalau setakat nak tukar baju fesyen. Kalaulah saya tak cerdik juga, saya minta maaf," katanya.

Menerusi hantaran itu, Alyah yang juga isteri kepada pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS turut memuat naik surat permohonan merentas negeri bermula 4 hingga 7 April.

Alyah juga memuat naik surat atau permit perniagaan yang didaftarkan atas nama syarikatnya iaitu Like Music Entertainmnet yang masih sah sehingga 18 Januari 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 9:13 PM