HORMATI setiap karya lagu dan topik cinta.
HORMATI setiap karya lagu dan topik cinta.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Datin Alyah menjelaskan kekeliruan segelintir pihak yang menganggap dia tidak lagi mahu menyanyikan lagu berunsur cinta sesama kekasih.

Alyah, 40, atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan berkata, apa yang dimaksudkan sebelum ini adalah mesej bagi lagu yang akan dinyanyikan itu sebolehnya biar positif dan sesuai didengar semua peringkat umur.

"Ingin dijelaskan, saya masih menyanyikan lagu bertemakan cinta, tapi yang mempunyai elemen kebaikan dan sesuai disampaikan. Contohnya, bukan yang macam 'bila kau tiada, aku mati', tetapi ia lebih kepada 'kalau kau cintaiku, kahwinilah aku.'

Maksudnya, bait lirik itu cenderung kepada mesej yang baik, tak terlalu lara atau meratap cinta pada pasangan.

"Apapun, saya hormati setiap karya lagu dan topik cinta itu juga luas dan subjektif. Terpulang kepada penerimaan masing-masing," katanya.

Ditanya sejauh mana pendiriannya terhadap pemilihan lagu sedemikian ketika ini, isteri kepada pengarah pemuzik terkenal, Datuk Ramli MS itu percaya pada rezeki.

"Dalam soal ini, kita semua tahu siapa yang memberi rezeki. Tinggal lagi kita perlu usaha dan pasang niat dengan betul. Insya-Allah tuah itu akan ada di mana-mana. Malah, saya sendiri tidak pernah menjangka capaian single Thank You Allah begitu luar biasa hingga hari ini. Meski dari segi persembahan itu kurang kerana situasi semasa, tapi dari segi media sosial ia amat baik, syukur alhamdulillah.

"Bukan nak kata lagu cinta saya sebelumnya tak 'jalan', tapi penerimaan baik terhadap percubaan Thank You Allah buatkan semangat saya jadi lebih besar. Dalam berkarya ini, kita perlu percaya bila ada suara, identiti akan ada jalan," katanya.

Berkongsi mengenai kemunculannya pada majlis pelancaran cawangan ke-43 Mokti's di Puncak Jalil, pada Sabtu lalu, Alyah berkata, dia memberi sokongan kepada pengasas cawangan itu.

ALYAH bakal muncul single baharu tahun depan.
ALYAH bakal muncul single baharu tahun depan.

"Saya hadir sebagai meraikan kenalan yang juga pengasas Missy Eldee, Sharifah Norliza Syed Hamid. Dia juga antara 'founder' yang tampil dalam muzik video Thank You Allah sebagai Along. Kami sudah kenal lama dan saya turut tumpang gembira atas kejayaannya yang kian sukses dengan bisnes," katanya.

Dalam perkembangan lain, Alyah yang turut melancarkan jenama pakaian 'ready to wear' (RTW) Labeesa by Datin Alyah dan single baharu, awal tahun depan.

ALYAH percaya pada rezeki.
ALYAH percaya pada rezeki.

"Setiap kali saya buat sesi siaran langsung di Instagram, saya selalu belanja bahagian korus lagu itu. Saya perdengarkan kepada peminat sebelum ia dilancarkan. Lagu ini mengisahkan mengenai hubungan adik-beradik. Sebab kadang-kadang kita mungkin lupa bahawa hubungan saudara itu paling penting berbanding wang ringgit.

"Bagaimanapun, penceritaannya bukan kesinambungan kepada jalan cerita dalam muzik video Thank You Allah, tetapi elemen nilai hubungan kekeluargaan itu yang dikekalkan. Lagu ini masih tiada tajuk. Ia hasil ciptaan saya sepenuhnya dan lirik bersama Shah Samsiri. Insya-Allah lagu ini akan menjadi buah tangan pertama saya tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:35 AM