Azhan Rani.
Azhan Rani.
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pelakon Azhan Rani, 45, menempelak sikap segelintir pengguna jalan raya yang 'pentingkan diri' hingga sanggup membahayakan orang lain.

Azhan ketika dihubungi berkata, akibat sikap sedemikian dia mengalami kemalangan kecil ketika menunggang motosikal ke lokasi penggambaran drama Kiblat Yang Hilang di Batu 18, Hulu Langat, Selangor jam 8 pagi, hari ini.

"Kejadian berlaku kira-kira 800 meter ke lampu isyarat Batu 14 Hulu Langat dari arah Batu 16. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana tak cedera dan hampir terbabas saja.

"Mujur saya dapat mengelak kereta berwarna hitam itu. Kalau tak sempat tadi mungkin akan jatuh dan cedera teruk. Saya geram dengan sikap pemandunya yang tak mahu berhenti selepas melanggar saya. Dia larikan diri begitu saja," katanya kepada Harian Metro.

Azhan berkata, sikap tidak bertanggungjawab pemandu seperti itulah yang sanggup membiarkan mangsa yang dilanggarnya terbaring di jalan jika mengalami kecederaan serius atau maut.

"Dia (pemandu) sanggup larikan diri begitu saja walaupun cermin sisi keretanya pecah. Mujur motosikal saya ada besi penghadang enjin (crush bar) dan sempat saya kawal supaya tidak terjatuh," katanya.

Azhan berkata, dia tidak sempat untuk mengenal pasti jenis kereta atau mengingati nombor pendaftarannya.

Menurut Azhan, dia memuat naik perkara itu di Instagram sebagai peringatan untuk diri sendiri, pemandu terbabit dan orang ramai.

"Memandu jangan ikut nafsu kerana itu jalan kampung. Bawa laju-laju pun nak ke mana sebab kereta semua berhenti tunggu giliran untuk ke lampu isyarat, tapi dia boleh pula memotong masuk jalan orang dan tak mahu mengelak pun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 8:54 PM