ANDI BERNADEE
ANDI BERNADEE
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Andi Bernadee, 30, yang dikatakan disihir baru-baru ini semakin pulih dan sudah kembali bekerja selepas dua minggu menerima rawatan daripada seorang ustaz.

Pengurusnya, Nasir Deraman berkata, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile bagaimanapun masih perlu pemantauan berterusan disebabkan keadaan dirinya masih tidak menentu.

"Andi sudah kembali bekerja namun masih perlukan pemantauan. Maklumlah benda berkaitan sihir ini ambil masa untuk berubat dan pulih sepenuhnya.

"Oleh itu, dia kena ditemani seseorang setiap kali keluar atau pergi bekerja. Ketika ini, keadaannya masih lagi 'on-off' kesan daripada perbuatan itu.

"Rawatan pun masih tetap diteruskan bagi memastikan dirinya benar-benar kembali seperti sedia kala," katanya.

Penyanyi lagu Kais Pagi Kais Petang itu kini terbabit untuk penggambaran sebuah program TV. Dia juga bakal kembali menjayakan penggambaran drama dalam masa terdekat ini.

Pada 17 Februari lalu, Andi mendedahkan dirinya menjadi mangsa sihir seorang wanita sehingga kehidupan hariannya terganggu dengan pelbagai perkara pelik antaranya dia meraung dan memekak secara tiba-tiba.

Andi yang juga pelakon drama bersiri Melastik Ke Hatimu itu turut berkongsi video dua paku karat dalam mangkuk berisi kuning telur yang ditarik daripada bahagian tekaknya.

Selain itu, katak kering juga ditemui atas bumbung kediamannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 6:44 PM