ZAKARIA. FOTO Arkib NSTP
ZAKARIA. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) hari ini mengeluarkan kenyataan, memohon pertimbangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi kelonggaran dan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan di kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 demi memastikan ekonomi industri kreatif tidak terjejas.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, perlaksanaan PKP 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini memberi kesan kepada pendapatan pekerja bebas (freelance) yang bekerja dalam industri.

"Seperti sedia maklum, industri kreatif Malaysia digerakkan oleh para penggiat industri yang bersifat 'freelance'.

"Tentunya, pelaksanaan PKP 2.0 sejak 13 Januari  lalu memberi impak kepada sumber pendapatan mereka berikutan aktiviti penggambaran yang tidak dibenarkan.

"Lebih-lebih lagi, lanjutan tempoh PKP 2.0 sehingga 18 Februari ini juga akan memberi kesan yang lebih buruk dan menjejaskan pendapatan mereka serta berupaya melumpuhkan ekonomi industri kreatif tempatan sekiranya aktiviti penggambaran masih tidak dibenarkan beroperasi," katanya.

Dalam kenyataan sama, Finas menyenaraikan empat asas utama untuk pertimbangan pihak MKN.

"Sektor industri kreatif adalah antara sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Pelaksanaan PKP 2.0 yang bermula pada 13 Januari lalu menjejaskan pendapatan dan ekonomi penggiat industri kreatif berikutan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP.

"Pematuhan SOP yang ketat oleh penggiat industri kreatif ketika menjalankan aktiviti penggambaran membuktikan semasa tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) tiada kluster Covid-19 yang wujud berpunca daripada aktiviti penggambaran.

"Finas sedia bekerjasama dengan MKN melalui pasukan penguatkuasa daripada Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas bagi memantau dan memastikan pematuhan SOP sekiranya aktiviti penggambaran dibenarkan," katanya.

Hari ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa pelaksanaan PKP 2.0 dilanjutkan sehingga 18 Februari ini di seluruh negara kecuali Negeri Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 9:15 PM