MAN Tolini teruja nak masuk gelanggang Muzikal Lawak Superstar musim kedua bersama kumpulan JBORN.
MAN Tolini teruja nak masuk gelanggang Muzikal Lawak Superstar musim kedua bersama kumpulan JBORN.
Norhayati Nordin

MESKIPUN pandemik Covid -19 dalam negara masih menular, namun kehidupan tetap diteruskan. Malah, sehebat mana pun dugaan yang datang, perlu tabah.

Itu prinsip semangat pelakon komedi dan pelawak, Man Tolini atau nama sebenarnya Abd Rahman Kassim, 43. Katanya lagj, biar orang nak cakap apa.

Berdepan pelbagai cerita sensasi pada tahun ini, Man akui dia makin cekal dan sudah lali dengan apa sahaja kecaman termasuk kritikan pedas daripada warganet. Katanya, cakaplah apa nak dicakapkan.

"Kalau nak fikir semua cakap netizen, memang banyak benda yang mereka tak puas hati. Bagi bantuan duit pun kena kecam, baik tak payah layan.

"Sekarang, saya teruja nak tampil beraksi dalam pertandingan Muzikal Lawak Superstar musim kedua bermula 18 Disember ini bersama kumpulan JBORN yang turut dianggotai Khir Rahman dan Joey Daud.

"Fokus saya sekarang tertumpu untuk pertandingan ini, termasuk menaikkan berat badan daripada 68 kilogram (kg) sebelum ini kepada 80kg sekarang," katanya.

Kata Man, ia berikutan dia mahu membuktikan dakwaan dilemparkan segelintir pihak kepadanya yang mengatakan dia menjalani pembedahan 'potong usus' untuk kurus adalah tidak benar. Begitu juga dakwaan dia menghidap kencing manis.

"Saya kurus kerana mengamalkan minuman kesihatan berperasa koko yang sesuai dengan penerimaan badan. Bagaimanapun, pelbagai dakwaan tak berasas dilemparkan kepada saya.

BAHAGIA, Man Tolini sering ditemani isteri konvoi motosikal.
BAHAGIA, Man Tolini sering ditemani isteri konvoi motosikal.

"Jadi, kalau sebelum ini saya diam sahaja tidak membalas. Jangan lupa, tengok penampilan saya dalam pertandingan Muzikal Lawak Superstar itu nanti dan nilaikan," katanya.

Berbicara juga mengenai tahun baharu akan datang, Man berkata, apa yang diharapkannya semoga masalah pandemik Covid-19 ini berakhir. Katanya, semoga tahun depan keadaan lebih baik.

"Saya juga berdoa tawaran untuk kerja seni lebih meluas kerana pada tahun ini, banyak urusan kerja terpaksa dibatalkan. Sejujurnya, terasa juga pendapatan terjejas. Namun, saya masih bersyukur.

"Kemelut pendapatan terjejas yang saya alami mungkin tidak sehebat orang lain. Apapun, saya berdoa semoga masalah pandemik ini berakhir dan vaksinnya ditemui.

"Menjalani kehidupan dalam norna baharu ini, saya sedar tidak sebebas dahulu. Tapi, saya gembira tetap ada masa bersama keluarga terutama dengan isteri tercinta kerana kami suka konvoi motor," katanya.

Menurut Man, isterinya sangat memahami dan setia memberikan sokongan. Begitu juga dengan anak-anak. Katanya, apa yang dirasakan kini keluarganya sudah lengkap.

Sehubungan itu, Man juga mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong. Katanya, dia sangat menghormati dan menghargainya serta nekad mahu memberi terbaik dalam hasil kerja seni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 6:45 AM