BEBERAPA adegan dalam Keluarga Baha Don 2 yang boleh ditonton menerusi platform penstriman Viu.
BEBERAPA adegan dalam Keluarga Baha Don 2 yang boleh ditonton menerusi platform penstriman Viu.
Najiy Jefri


SIRI komedi mafia Malaysia pertama, Keluarga Baha Don kini sudah memasuki musim kedua di platform penstriman Viu bermula 3 Disember lalu.

Siri Viu Original yang berjaya memenangi anugerah ini ternyata sudah menarik sebilangan besar peminat dengan memaparkan komedi unik pada setiap episod sejak dilancarkan Julai tahun lalu.

Dihasilkan oleh Anomalous Films, Keluarga Baha Don berkisarkan sebuah keluarga yang boleh dianggap pelik, apabila mempunyai perniagaan kulinari, di sebalik jenayah terancang.

Musim kedua siri ini memaparkan kisah mereka yang tergantung dalam episod akhir musim pertama lalu, di mana Jo (lakonan Remy Ishak) menyedari bahawa ayahnya, Baha Don (Othman Hafsham) mungkin masih hidup.

Sekuel yang dinanti-nantikan akan memperlihatkan barisan pelakon yang membintangi siri asal ini membabitkan Jihan Muse, Mark Adam, Khir Rahman, Susan Lankester, Sharifah Aleysha, Melissa Campbell dan ramai lagi.

Lebih menarik, musim baharu ini turut memperlihatkan kemunculan pelakon baharu seperti Tony Eusoff, Amy Mastura, Azman Hassan dan Marsha Milan.

MUSIM kedua tampil kemunculan pelakon seperti Tony Eusoff, Amy Mastura, Azman Hassan dan Marsha Milan.
MUSIM kedua tampil kemunculan pelakon seperti Tony Eusoff, Amy Mastura, Azman Hassan dan Marsha Milan.

Ketua Produksi Viu Original Malaysia dan Indonesia, Sahana Kamath, berkata, susulan aktiviti penggambaran terpaksa dihentikan di awal pandemik Covid-19 di Malaysia, pihaknya sudah meluangkan masa dalam menghasilkan skrip dan jalan cerita untuk siri kedua Keluarga Baha Don.

"Sepanjang tempoh penggambaran dihentikan Mac lalu, kami meluangkan masa dan tenaga dalam penghasilan skrip untuk menerbitkan siri-siri asal kami di masa akan datang.

"Viu menghargai nilai dan permintaan daripada rakyat Malaysia untuk pengeluaran asli yang lebih berkualiti tinggi dan dihasilkan secara tempatan.

"Oleh itu, kami bawakan kembali siri komedi Keluarga Baha Don, drama mafia pertama di Malaysia bagi musim kedua untuk sebuah lagi naskhah komedi buat peminat di Malaysia. Keluarga Baha Don bukan seperti siri komedi lain dan ia contoh terbaik untuk kandungan asli berbeza dengan kandungan sedia ada yang dihasilkan Viu," katanya.

BEBERAPA adegan dalam Keluarga Baha Don 2 yang boleh ditonton menerusi platform penstriman Viu.
BEBERAPA adegan dalam Keluarga Baha Don 2 yang boleh ditonton menerusi platform penstriman Viu.

Melihat kepada perkembangan terkini, Viu Malaysia terus mencabar dalam menarik lebih ramai penonton selain memperkenalkan genre dan format baharu yang tertumpu pada lokaliti seterusnya memberi peluang kepada bakat tempatan untuk berkarya.

"Keluarga Baha Don pernah memenangi Program Komedi Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2019. Jihan juga membawa pulang trofi Asian Academy Creative Award dalam kategori Persembahan Komedi Terbaik untuk lakonannya sebagai Kesuma dalam siri ini.

"Selain itu Viu juga memenangi Penyesuaian Format TV Terbaik (Skrip) di Asia untuk Pretty Little Liars pada Content Asia Awards yang pertama. Lima siri Viu Original bersama-sama menerima 14 pencalonan. Tahun ini, Viu merangkul 33 anugerah di pusingan kebangsaan Asian Academy Creative Awards untuk rancangannya termasuk Pretty Little Liars, The Bridge, Black and Kopitiam: Double Shot," tambah Sahana.

Beralih mengenai siri kedua Keluarga Baha Don, pengarahnya, Syed Fariz berkata, seluruh tenaga kerja produksi memberikan sepenuh tumpuan terhadap kejayaan siri kedua ini supaya dapat dipersembahkan dengan baik dan bermutu.

BEBERAPA adegan dalam Keluarga Baha Don 2 yang boleh ditonton menerusi platform penstriman Viu.
BEBERAPA adegan dalam Keluarga Baha Don 2 yang boleh ditonton menerusi platform penstriman Viu.

"Meksipun memenangi anugerah tapi kami tidak mahu memberi tekanan kepada diri. Apa yang kami lakukan, adalah teruskan kualiti yang sudah dibawa sebelum ini dan pastikan setiap yang diceritakan sampai ke hati penonton.

"Lagipun saya percaya barisan pelakon yang sedia ada ini memberikan sepenuh komitmen mereka untuk memastikan karya ini terus diterima ramai. Malah penulisan skrip ini juga mengambil masa yang lama, kira-kira setahun untuk memastikan jalan ceritanya dapat diterima baik.

"Saya berharap Keluarga Baha Don 2 dapat mengekalkan momentum kejayaannya dan penonton akan teruja untuk melihat dan mengetahui apakah kejutan yang ditampilkan dalam setiap episod musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2020 @ 6:20 AM