Susan Lankester
Susan Lankester
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pelakon Susan Lankester, 59, dinobatkan sebagai Pelakon Komedi Terbaik Asia di Asian Academy Creative Awards 2021(AACA 2021) di Singapura pada 3 Disember lalu. 

Kejayaan Susan adalah menerusi persembahan komedi cemerlangnya di dalam siri Keluarga Baha Don musim ke-2 yang ditayangkan di platform penstriman Viu. 

Susan ketika ditemu bual media pada acara karpet merah berkata, dia terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang bagi kategori terbabit. 

"Pada awalnya saya tidak tahu mengenai kemenangan ini sehinggalah dihubungi oleh wakil penganjur yang tiba-tiba mengucapkan tahniah kepada saya. 

"Saya bertanya kepadanya semula ucapan tahniah ini untuk apa? Dia kemudian beritahu saya menang anugerah Pelakon Komedi Terbaik Asia dan ini adalah satu kejutan yang tak diduga. 

"Saya hanya mampu rasa sangat bersyukur dan teruja dengan kejayaan ini," katanya. 

Kejayaan itu membuatkan Susan berjaya menewaskan calon lain di rantau Asia Pasifik seperti Australia, New Zealand, Kemboja, China, Hong Kong, India, Jepun, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Korea, Taiwan, Thailand dan Vietnam. 

Dalam pada itu, AACA 2021 turut mengangkat produksi Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) terbitan Astro sebagai Program Muzikal/Tarian Terbaik Asia. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 3:44 PM