DAVID LANDER
DAVID LANDER
Agensi

Los Angeles: Pelakon popular 1980-an, David Lander, 73, meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit saraf dikenali 'multiple sclerosis' selama 37 tahun, semalam.

Lander yang popular menerusi watak Squiggy dalam sitkom Laverne & Shirley menghembuskan nafas terakhir di samping isterinya, Kathy Fields Lander, anak perempuannya, Natalie dan menantunya.

Pada 1999, mendiang mendedahkan kepada umum mengenai penyakit yang dideritainya itu. Dia juga aktif berkongsi mengenai pengalamannya di pelbagai acara.

Dalam sitkom Laverne & Shirley yang disiarkan sejak 1976 hingga 1983, Lander turut bergandingan dengan Michael McKean. Karakternya sebagai Squiggy turut ditampilkan dalam siri The Simpsons pada 2002.

Dia juga turut bergandingan dengan McKean membintangi filem arahan Steven Spielberg berjudul 1941 pada 1979. Selain itu, mereka turut menjayakan filem Used Cars arahan Kurt Russell.

Tidak ketinggalan, mereka menyumbang suara untuk siri animasi TV, Oswald. Antara program dibintangi Lander juga termasuk The Bob Newhart Show, Barney Miller, Happy Days, Viva Valdez, dan The Drew Carey Show.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Disember 2020 @ 11:12 AM