Najiy Jefri


SETIAP insan tidak terlepas daripada terus diuji dengan penularan Covid-19.

Namun setiap ujian dan dugaan yang hadir pasti ada penawar yang akan menyembuhkan segala masalah yang membelenggu fikiran.

Bagi pelakon Hafidz Roshdi, dia tidak menafikan dirinya juga terkesan akibat pandemik Covid-19, namun dia bersyukur apabila semuanya dapat dikawal dalam situasi sukar ini.

"Tipulah kalau kita semua tidak terkesan, tapi saya bersyukur sebab saya bukanlah meriah sangat dari segi pemakaian dan sebagainya. Apa yang saya pakai, biasa sahaja.

"Saya sentiasa bersederhana dalam berbelanja. Tambahan, komitmen bulanan saya tidaklah begitu tinggi.

"Saya tidak tahulah artis lain, tetapi saya pakai biasa saja, jadi bolehlah bertahan dengan duit simpanan, Alhamdulillah," katanya ketika ditemui pada sesi temubual bersama media bagi mempromosikan sitkom pertamanya, Bujang Tampan Selamba, baru-baru ini.

Tambah Hafidz, keperluaan untuk anak-anak dan isteri lebih diutamakan ketika ini memandangkan dia sudah memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Beralih mengenai kerjaya seni lakonan, Hafidz menepis dakwaan dirinya sukar mendapat tawaran kerja apabila perlu bersaing dengan ramai pelakon baharu.

Kata Hafidz, dia masih menerima tawaran memegang watak sebagai tunjang utama kepada sesebuah nashkah.

HAFIDZ kini membintangi sitkom yang turut dijayakan bersama PU Azman dan Bell Ngasri.
HAFIDZ kini membintangi sitkom yang turut dijayakan bersama PU Azman dan Bell Ngasri.

"Saya rasa tidaklah sukar sangat bersaing dengan pelakon baharu. Jika sudah tertulis rezeki saya, rezeki jugalah. Jadi, tidak perlu rasa bersaing pun.

"Jujurnya, rezeki saya murah sangat dan diberikan paling banyak peluang meneroka karakter lain daripada watak yang sering diberikan. Selalunya watak ustaz, suami baik, lelaki teraniaya dan sebagainya.

"Alhamdulillah, saya menerima tiga tawaran drama sebagai hero dalam Fasa 1, Sekatan Pergerakan Penuh di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Mengakui sudah lama tidak beraksi sebagai hero, Hafidz bagaimanapun sedikit gementar ketika menjalani proses penggambaran.

"Tahun lalu saya menimang cahaya mata. Jadi, saya ambil keputusan nak rehat sedikit dan menerima watak hero kedua.

"Sebabnya, tidaklah terlalu tertekan memegang watak pembantu. Bagaimanapun, apabila menjayakan watak hero pula sebaliknya, saya jadi risau sikit," katanya.

SITKOM Bujang Tampan Selamba sudah menemui penonton sejak 23 Jun lalu.
SITKOM Bujang Tampan Selamba sudah menemui penonton sejak 23 Jun lalu.

Dua Hari Bina Keserasian

Mengulas mengenai sitkom yang dijayakan bersama PU Azman dan Bell Ngasri itu, Hafidz berkata dia teruja apabila kali pertama diberi peluang bergandingan bersama dua rakannya itu.

"Satu pengalaman yang berbeza kerana saya berpeluang bergandingan dengan pelawak dan ustaz.

"Saya ambil masa dua hari membina keserasian berikutan cara bekerja agak lain. Saya sudah terbiasa dengan skrip, manakala Bell pula main bantai saja, jadi nak memahami caranya bukan mudah.

"Tapi saya seronok buat sitkom. Kalau berlakon drama perlu menjaga watak yang dibawakan, namun kali ini boleh jadi diri sendiri.

"Pengarah dan penerbit memberi kebebasan untuk kami melakukan apa sahaja. Maksudnya, kami boleh buat dialog sendiri dan tidak perlu ikut skrip sangat. Itu yang menyeronokkan berlakon sitkom," katanya.

Sitkom Bujang Tampan Selamba menemui penonton sejak 23 Jun lalu ditayangkan setiap Rabu, jam 9.30 malam di TV9.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:00 AM