CHOMBI anak kepada pemuzik, komposer dan penyanyi, Harry Khalifah atau Apak.
CHOMBI anak kepada pemuzik, komposer dan penyanyi, Harry Khalifah atau Apak.
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Disebabkan raut wajah matang, penyanyi baru berusia 13 tahun, Chombi yang kini popular dengan lagu Rindu Rindu menjadi tarikan kebanyakan lelaki bujang, termasuk yang sudah berkeluarga.

Chombi atau nama sebenarnya Siti Maryam Ahmad Sairi berkata, dia pernah mendapat mesej di Instagram daripada lelaki mengajaknya bercinta dan berkahwin.

"Kebanyakan yang menghantar DM (Direct Message) kepada saya di Instagram itu bukan saja lelaki bujang, tetapi ada juga yang sudah berumah tangga, malah ada yang kerja sebagai pemandu lori.

"Bagaimanapun, saya tidak melayan dan sekadar memberitahu mereka saya masih bersekolah dan di bawah umur. Saya harap dengan penjelasan itu, mereka faham," katanya kepada Harian Metro.

Chombi juga anak kepada pemuzik, komposer dan penyanyi, Harry Khalifah atau Apak.

Video muzik lagu Rindu Rindu ciptaan Harry Khalifah kini sudah mencatat lebih tiga juta tontonan selepas dilancarkan di YouTube kira-kira tujuh bulan lalu.

 Menurut Chombi, dia menghormati mereka yang meminatinya dan sangat berterima kasih kerana memberikan sambutan yang baik terhadap lagu itu.

Ditanya tidakkah dia tertekan dengan DM yang diterima, Chombi berkata, ibunya banyak memberi nasihat dan barangkali juga raut wajah yang nampak matang adalah faktor dia menjadi tarikan lelaki.

"Setakat ini, kebanyakan lelaki yang hantar DM itu pun ajak bercinta dan kahwin saja. Mereka tidak menulis perkataan- perkataan yang kurang sopan pada saya.

"Bagi saya, selagi tidak keterlaluan cukup hanya memberi penjelasan saja. Lagipun, pembabitan saya dalam kerjaya seni ini sentiasa dipantau oleh ayah," katanya yang juga anak kedua daripada tujuh beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2020 @ 5:45 PM