HAEL (kanan) nafi akan bertunang dengan Dayang Nurfaizah. FOTO Arkib NSTP
HAEL (kanan) nafi akan bertunang dengan Dayang Nurfaizah. FOTO Arkib NSTP
Norhayati Nordin

PENYANYI dan komposer popular, Hael Husaini, 33, menafikan dia akan bertunang dengan Dayang Nurfaizah, 39, dalam tempoh terdekat ini.

Hael ketika ditemui kelihatan cukup berhati-hati menjawab dakwaan pertunangan itu dan enggan memberi komen lanjut.

"Tak ada, tak ada. Belum lagi. Saya tak nak jawab. Tiada komen, bahaya soalan ini (berkaitan pertunangan dengan Dayang).

Insya-Allah, kalau ada rezeki dengan sesiapa yang sudi dan sampai jodoh, saya bertunang," katanya.

Sebelum ini bertebaran gosip mengatakan mengenai hubungan istimewanya dengan Dayang.

Menurut penyanyi lagu Jampi ini, dia masih menunggu jodoh, sama seperti kebanyakan rakan-rakan bujangnya yang lain.

Kini muncul dengan lagu baharu berjudul Bujang, Hael berkata, lagu itu memang dihasilkan sebagai dedikasi kepada golongan bujang termasuk dirinya.

"Saya suka bereksperimen dengan lagu yang berkonsep. Jadi, selepas muncul dengan lagu Hari Ini untuk pasangan berkahwin, sekarang lagu untuk orang bujang pula.

"Sesiapa yang dengar lagu ini, saya mahu mereka gembira dalam kehidupan. Ini kerana saya banyak dengar orang menganggap hidup bujang ini menyedihkan dan ada yang meratapi nasib mereka di hujung bucu katil," katanya.

Mengulas mengenai dirinya yang disifatkan peminat berjaya mengembalikan era penghibur tersohor negara, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad menerusi lagu dihasilkan, Hael berkata, dia tidak berhasrat meneruskan legasinya.

"Penghibur seperti Sudirman adalah nama besar dalam industri hiburan negara. Tak mungkin ada penggantinya dan saya selesa menjadi diri sendiri. Apabila dikatakan saya kini mengembalikan era Sudirman, ia sekadar dilihat sebagai penghargaan daripada peminat saja," katanya yang akan muncul bersaing dengan penyanyi lain dalam program Immortal Songs di TV3 bermula 30 Ogos ini, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 12:41 PM