Noor Nabila memuat naik video di Instagram Story yang memaparkan PU Riz sedang bersembang dengan Lofa disertai emoji hati.
Noor Nabila memuat naik video di Instagram Story yang memaparkan PU Riz sedang bersembang dengan Lofa disertai emoji hati.
Oleh Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Kemunculan pendakwah bebas, PU Riz yang berbaju Melayu biru pada majlis perkahwinan adik pengacara, Neelofa iaitu Mohamed Aqief, menjadi bualan dalam kalangan warganet, semalam.

Ditambah pula, kakak Lofa iaitu Noor Nabila memuat naik video di Instagram Story yang memaparkan PU Riz atau nama sebenarnya Haris Mohd Ismail sedang bersembang dengan Lofa disertai emoji hati.

Tindakan Noor Nabila itu seolah-olah memberi bayangan mengenai apakah hubungan yang terjalin antara PU Riz yang juga pelakon filem Ada Apa Dengan Dosa itu dengan Lofa selain rona sedondon yang dikenakan.

Video itu juga dikongsikan beberapa akaun di Instagram yang rata-rata teruja dengan hubungan rapat yang terjalin antara PU Riz bersama keluarga bekas hos MeleTop itu.

Terdahulu, PU Riz menjelaskan hubungannya dengan Lofa hanya atas dasar kerja semata-mata. Tidak ada soal hati atau perasaan antara mereka seperti yang digembar-gemburkan.

Dia mendakwa setiap kali tampil berdua, ia atas faktor kerja terutama aktiviti dakwah. Menurutnya lagi, perkara itu dilihat sebagai satu usaha dakwah dan melakukan perkara yang baik.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 12:09 PM