AINA tampil kelainan dengan single terbaru.
AINA tampil kelainan dengan single terbaru.
Najiy Jefri

SELEPAS muncul dengan single berjudul Semalam, Mac lalu, Aina Abdul membuat kejutan untuk peminat serta penggemar muzik tempatan apabila tampil berbeza dengan dua single serentak iaitu Maybe dan Kelip-Kelip.

Aina berkata, pelancaran dua single secara serentak adalah hadiah buat peminat yang selama ini menyokongnya.

"Ini adalah kejutan untuk peminat yang selama ini tak jemu memberikan sokongan. Kedua-dua lagu ini mempunyai kisah tersendiri yang menarik untuk dikongsi kepada pendengar.

"Saya mula menulis Maybe dan Kelip-Kelip ketika awal tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu. Lagu-lagu ini adalah hasil ciptaan sepenuhnya oleh saya dan ia menonjolkan sisi berbeza saya yang anda kenali.

"Jika sebelum ini menerusi Sumpah dan Semalam, saya mempertaruhkan lagu balada yang bernada perlahan, lagu Maybe dan Kelip-Kelip menjanjikan satu kelainan," katanya.

Menurut Aina, Maybe mengangkat kisah cinta yang bertepuk sebelah tangan selain proses lagu ini mengambil masa selama sebulan.

"Tajuk Maybe dipilih untuk menonjolkan keunikan lagu ini. Walaupun menggunakan tajuk dalam perkataan Bahasa Inggeris, lirik lagu ini ditulis dalam Bahasa Malaysia.

"Di awal pembikinan lagu ini, saya hanya menyiapkan bahagian korus, tapi bersama proses kerjasama dengan bakat muda yang juga produser bernama Affan, semuanya siap seperti yang dirancang.

"Lagu ini diberi judul Maybe kerana si gadis merasakan bahawa dia tidak keseorangan dalam merasakan sesuatu terhadap jejaka pujaannya itu. Tetapi, sehingga akhir, dia tidak diberi jawapan apakah lelaki itu merasakan perkara yang sama. Maybe yes, Maybe not!" katanya.

Bercerita mengenai lagu Kelip-Kelip, Aina berkata, lagu itu mengambil inspirasi dari melodi lagu kanak-kanak popular Twinkle Twinkle Little Star.

"Kelip-Kelip bukan berentak balada tapi lagu rancak dengan penambahan koreografi, menjadikan ia satu pengalaman baru bagi untuk saya.

"Runut 'Twinkle Twinkle Little Star' menjadi tunjang idea saya sewaktu pembikinan lagu ini. Perbezaannya adalah persepsi lagu kanak-kanak itu ditafsirkan sebagai lagu yang gembira dan dekat di hati kanak-kanak. Tetapi kali ini saya cuba ubah idea dengan memasukkan elemen cinta dalam mengiringi melodi Twinkle Twinkle Little Star itu.

"Idea lagu Kelip-Kelip adalah untuk menggambarkan situasi seseorang yang cuba untuk melupakan masa silam selepas dikhianati dalam hubungan cintanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 8:21 AM