PESERTA menanam pokok berembang.
PESERTA menanam pokok berembang.
Zaitie Satibi


KELIP-KELIP atau dikenali sebagai kunang-kunang ialah sejenis serangga bersayap yang mengeluarkan cahaya berkelip-kelip pada waktu malam.

Suasana malam yang meriah dengan cahaya kelip-kelip itu memang mengasyikkan! Banyak tempat di Malaysia menjadi habitat serangga bercahaya ini, sekali gus menjadi daya tarikan sebagai lokasi tumpuan eko pelancongan.

Habitat kelip-kelip di Sungai Yak Yah, Kemaman, Terengganu antara lokasi menarik wajib diterokai pencinta alam sekitar atau sesiapa sahaja yang mahu menikmati keajaiban alam.

Sungai ini yang terletak setengah jam perjalanan dari bandar Chukai mula menjadi sebutan pelancong sejak 19 tahun lalu apabila dibanjiri puluhan ribu kelip-kelip terutama malam dan fenomena itu ‘cahaya’ itu memberi pengalaman istimewa kepada pengunjung.

Kehadirannya dalam jumlah yang banyak menjadikan Sungai Yak Yah sebagai satu daripada santuari kelip-kelip dan membuka peluang kepada penduduk setempat menawarkan perkhidmatan bot membawa pengunjung menyusuri sungai melihat gemerlapan cahayanya.

Aktiviti melihat kelip-kelip yang di sekitar Sungai Yak Yah ini biasanya bermula sekitar jam 8 hingga 10 malam. Tempoh berkenaan adalah waktu kebiasaan serangga bercahaya ini mengerumuni pokok paya bakau di sekitar sungai berkenaan.

Pengunjung akan dibawa ke kawasan kelip-kelip bagi menikmati suasana yang cukup indah. Bayangkan dalam suasana pekat malam dan hanya ditemani bunyi serangga, anda dihidangkan dengan pemandangan menakjubkan ribuan cahaya kecil umpama bintang berselerakan di dada langit menghiasi deretan tebing.

Dikatakan terdapat empat spesies kelip-kelip di Sungai Yak Yah dan serangga kecil yang unik ini juga membiak dengan begitu banyak dari Julai hingga Oktober setiap tahun. Keadaan ini memberikan keistimewaan kepada Sungai Yak Yah berikutan lokasi kelip-kelip lain di Malaysia hanya membabitkan satu spesies sahaja.

CAHAYA kelip-kelip mengasyikkan pandangan.
CAHAYA kelip-kelip mengasyikkan pandangan.

Kemeriahan industri pelancongan di sungai ini dikatakan pernah mencapai kemuncaknya pada 2010 sebelum ia perlahan-lahan menjadi suram berikutan beberapa faktor antaranya penurunan koloni kelip-kelip yang agak ketara.

Kelip-kelip didakwa berkurangan akibat penerokaan kawasan sungai untuk aktiviti pembangunan. Sehubungan itu, bagi menjamin habitat kelip-kelip tidak terancam dan ia terus membiak, di samping memastikan kawasan berkenaan terus menjadi tumpuan, kerajaan negeri melakukan langkah pemuliharaan yang dijalankan bersama pihak swasta.

Antara pihak yang tampil adalah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menanam 1,000 pokok berembang bagi memperhebatkan lagi program pemuliharaan koloni kelip-kelip di sungai berkenaan. Pokok berembang adalah habitat semula jadi koloni kelip-kelip dan penambahan pokok itu akan menggalakkan pembiakannya dengan lebih cepat.

Program penanaman pokok di sepanjang 15 kilometer di tebing Sungai Yak Yah itu dilaksanakan sejak Mei lalu dan ia sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat TNB di Terengganu. Dua lagi lokasi kelip-kelip pilihan TNB untuk pemuliharaan koloni kelip-kelip adalah Kampung Dew di Taiping, Perak dan Sungai Timun di Rembau, Negeri Sembilan.

Kerajaan negeri bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sekitar sungai berkenaan yang turut memberi kerjasama dalam usaha pemuliharaan koloni kelip-kelip kini giat mengadakan promosi dan menyediakan kemudahan asas untuk kemudahan pengunjung ke kawasan itu.

Bagi memastikan Sungai Yak Yah terus menjadi tumpuan, aktiviti lain turut ditawarkan seperti menaiki bot menyusuri sungai untuk melihat keindahan alam semula jadi ditawarkan sekitar hutan paya bakau dan memancing. Sungai ini dari dahulu hingga sekarang menjadi lokasi tumpuan kaki pancing berikutan ia juga terkenal sebagai lubuk udang galah dan ikan bersaiz besar.

Kini, Sungai Yak Yah sudah mula menjadi sebutan apabila bukan saja dilawati pengunjung tempatan, tetapi turut menjadi tumpuan pelancong dari Jepun, Singapura, China, Taiwan, Hong Kong dan Belanda.

Bagi anda yang berkunjung ke Terengganu dan singgah di Kemaman, jangan hanya mencari keropok lekor atau satar di sekitar Masjid Geliga saja. Cuba singgah di Sungai Yak Yah dan sempurnakan percutian anda di negeri penyu menangis itu dengan aktiviti melihat kelip-kelip.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 10:40 AM