RUHAINIES dan Zul Ariffin
RUHAINIES dan Zul Ariffin
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Ruhainies memilih untuk mengunci mulut mengenai dakwaan ramai yang mengatakan dia sudah mendirikan rumah tangga dengan pelakon popular, Zul Ariffin secara senyap-senyap. 

Ruhainies berkata, sekiranya ada berita baik yang ingin disampaikan, mereka tidak akan sesekali merahsiakan daripada pengetahuan ramai.

"Kami berdua memang kawan baik dan sangat rapat. Terus terang saya seronok berkawan dengan Zul sebab dia seorang pendengar yang baik. Apa yang boleh saya kongsikan, kami berdua masih bujang dan belum berkahwin. Tapi kalau ada berita baik, kami akan kongsikan kepada semua. 

"Lagipun soal perkahwinan ini seeloknya dikongsikan kepada orang ramai supaya tidak mengundang fitnah atau buruk sangka,"katanya.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kemesraan antara Zul yang juga Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 dengan Ruhainies sehingga ada yang beranggapan mereka sudah berkahwin secara senyap-senyap. 

Dalam pada itu, Ruhainies turut memohon maaf kepada orang ramai sekiranya video kemesraan dengan Zul mengundang rasa kurang senang kepada segelintir pihak. 

"Saya ingin mohon maaf sekiranya video kemesraan saya bersama Zul membuatkan anda berasa tidak selesa. Sebenarnya kami sangat rapat sebagai teman baik dan kami juga saling faham antara satu sama lain. Kalau boleh saya enggan ulas isu ini dengan lebih panjang sebab saya sedar yang  tak mudah nak puaskan hati semua orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 3:52 PM