NANA Sheme.
NANA Sheme.
Norhayati Nordin


PENYANYI lagu Hantu Atau Buaya dan Boleh Blah, Nana Sheme, 25, sudah sedia untuk merancakkan semula kerjaya nyanyiannya yang agak lama sepi.

Ia berikutan, Nana atau nama sebenar Nabilah Hashimi mengambil langkah menyepi selama beberapa tahun untuk memberi fokus pada pengajiannya di universiti.

"Saya tahu, bukan mudah untuk membina populariti semula selepas menyepi. Namun, saya akan cuba sedaya-upaya kerana lama menyimpan rindu dan minat menyanyi pun tak pudar.

"Ditambah, keputusan sebelum ini dibuat kerana mahu lunaskan janji kepada keluarga yang ingin melihat saya memiliki ijazah. Alhamdulillah, impian mereka sudah tercapai.

"Sekarang, saya pun dah dua tahun tamat pengajian dan kenapa kini baru muncul kerana sudah mendapat restu dan izin sepenuhnya daripada bapa," katanya.

Menurut Nana Sheme, sebaik berjaya dalam pelajaran dengan ijazah, bapanya terus beri kebenaran untuk dia buat apa yang diminati seperti menyanyi. 

Ditanya mengenai dirinya yang dikait 'penyanyi sendu', Nana berkata dia ambil positif sahaja. Baginya, ia lumrah buat penyanyi yang pernah 'menghilang sepi' sepertinya.

"Apa orang nak gelar, biarlah. Selama saya senyap, bukanlah menyepi sepenuhnya. Saya ada juga terbabit persembahan menyanyi yang berskala kecil dan tertutup.

"Cuma, tahun ini Alhamdulillah saya dapat peluang rakam.dan muncul dengan lagu baru berjudul Ragu-Ragu. Malah, muzik video di muat naik di YouTube sejak awal April lalu pun sudah mencecah lebih satu juta tontonan," katanya.

Bernaung di bawah syarikat pengurusan Xeno Entertainment kini, Nana Sheme berkata sekarang dia muncul dengan penampilan dan muzik matang seiring peningkatan usia.

Katanya, dahulu dia memulakan kerjaya seni pada usia 18 ketika menetap di negeri kelahiran Sarawak, sekarang dia kembali serius menyanyi semula ketika umur 25 tahun dan di Kuala Lumpur.

Apapun, Nana Sheme yang juga bekas graduan Pengajian Pengurusan Pembinaan dari Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA (UiTM) berterima kasih dengan peminat yang masih menyokongnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 8:36 PM