NANA. FOTO Blackpepper Production
NANA. FOTO Blackpepper Production
Sudirman Mohd Tahir

Tahun 2017 dianggap cukup bermakna buat Siti Nordiana. Apa tidaknya sepanjang tahun lalu, penyanyi yang mesra disapa Nana ini muncul dengan beberapa produk yang menjadikan kerjaya seninya terus mekar.

Malah, selepas dua tahun Nana menjuarai program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) dia masih kekal relevan sekali gus memberi persaingan kepada penyanyi baru.

Namun, Nana yang turut mencuri perhatian menerusi drama Dia Semanis Honey lakonan bersama Alif Satar tidak ingin mendabik dada, malah jauh sekali bermegah dengan kejayaan diraih.

Apa yang pasti, Nana selesa untuk terus menjadi diri sendiri seperti yang dikenali ketika awal kemunculannya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan apa yang ada. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang mendukung kerjaya dari awal hingga sekarang. Apa yang dilalui sekarang juga berkat kesabaran dan kerja keras saya dibantu dengan sokongan peminat.

“Saya juga tidak pernah menjangka untuk kembali berada pada lingkungan populariti ini. Malah penyertaan saya pada GV2 dianggap ‘underdog’ oleh segelintir pihak. Cuma saya tidak mahu persiakan peluang diberi. Ketika itu, saya hanya ingin membuat persembahan terbaik.

“Pada masa sama, saya bersyukur apabila sehingga sekarang masih mendapat tempat dalam industri hiburan. Orang kata, kalau sudah menang program realiti jangka hayat untuk popular tak panjang. Namun, saya tetap percaya pada rezeki Allah dan ternyata saya masih ada di sini,” katanya.

Mengimbau kembali perjalanan seninya yang dahulu dipandang sepi segelintir pihak hanya kerana dia penyanyi berasal dari kampung, Nana mengakui tidak pernah menyimpan dendam.

Sebaliknya, Nana menjadikan setiap apa yang berlaku kepada dirinya dahulu adalah kenangan dan tidak perlu diungkit.

Paling penting sekarang, Nana ingin buktikan dia bukan penyanyi biasa-biasa.

“Kalau ingat semula, macam-macam orang buat kepada saya, tetapi biarlah semua itu menjadi lipatan sejarah. Hanya mereka yang pernah bersama saya saja tahu apa dilalui. Kalau boleh sekarang ini saya inginkan yang indah-indah saja.

“Diakui selepas saya menang GV sehingga sekarang, ramai yang datang semula. Saya jenis okey saja dan tidak pernah memusuhi sesiapa. Bagi saya, industri hiburan kita kecil. Pusing ke mana pun, pasti berjumpa juga.

“Lagipun, saya tak suka bergaduh dengan orang. Saya sentiasa ingat pesan ibu bapa, biar orang buat kita, jangan kita buat orang. Disebabkan itu, setiap perkara dilalui saya hanya berfikiran positif. Insya-Allah segalanya dipermudahkan Allah,” katanya.

NANA. FOTO Blackpepper Production
NANA. FOTO Blackpepper Production

Rezeki melimpah-ruah

Kerjaya nyanyian Nana juga mencatat sejarah tersendiri apabila dia dipilih membuat persembahan pembukaan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, lalu.

Lebih manis, itu adalah penampilan sulung Nana pada program besar membabitkan negara sepanjang lebih 15 tahun menjadi anak seni.

Tidak hanya itu, buah tangan berupa single Terus Mencintai hasil ciptaannya sendiri berjaya mengukuhkan lagi nama Nana.

“Ini percubaan pertama saya mencipta lagu. Kiranya, ini juga percaturan baru sebagai penyanyi. Pada mulanya memang risau dan takut sekiranya lagu ini gagal mendapat tempat. Namun, selepas ia dilancarkan sambutan sangat bagus.

“Saya juga tak menyangka lagu ini dimainkan di stesen radio tempatan. Bukan apa, sekarang ramai penyanyi mengeluh perkara ini. Kejayaan lagu ini sedikit sebanyak membakar semangat untuk terus berkarya.

“Insya-Allah, saya bakal muncul dengan single baru juga hasil ciptaan sendiri. Saya berharap lagu ini boleh pergi lebih jauh. Paling penting diterima pendengar,” katanya.

Pada masa sama, Nana tidak terkilan lagu itu gagal mara ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 32.

“Saya percaya pada rezeki. Mungkin ada lagu lain yang lebih layak. Apatah lagi AJL adalah medan pertaruhan komposer dan penulis lirik. Jadi, mungkin pengalaman yang ada pada saya belum cukup kuat untuk membawa lagu ini ke peringkat tinggi.

“Namun, ia bukan alasan untuk saya berputus asa. Saya berharap single baru ini nanti mara ke AJL,” katanya yang kini muncul lagu duet bersama Jaclyn Victor, Nisan Cinta.

Belum mahu kahwin

Menyentuh mengenai sisi peribadinya, Nana yang sembilan tahun bergelar ibu tunggal belum merancang berkahwin.

Malah, Nana mengakui dia belum terdesak ke arah itu kerana ingin memberi fokus kepada anak, Rayyan, 10, keluarga dan kerjaya seni.

“Saya serahkan soal jodoh kepada Allah. Kalau ada calon, saya beritahu. Saya harap semua faham dan berhenti membuat spekulasi.

“Memang jelas tidak ada sebarang perancangan ke arah itu. Apa-apa pun, ribuan terima kasih kepada peminat yang sayang dan mendoakan kebaikan buat saya,” katanya.

Nana juga berkongsi, dia sering berseloroh dengan anaknya mengenai ‘calon baru’ sebagai bapanya. Namun, anaknya secara spontan memberi jawapan ‘tidak’.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 2:47 AM