MAMAT Sepah bersama isteri, Nordiana.
MAMAT Sepah bersama isteri, Nordiana.
Norhayati Nordin

PEMERGIAN pembantu peribadinya ketika Aidilfitri lalu memberi kesan mendalam terhadap pelawak Mamat Sepah, 35.

Pembantu peribadinya yang dikenali sebagai Jamal, 41, itu meninggal dunia akibat masalah jantung dan komplikasi buah pinggang. Jamal yang mengalami masalah kesihatan sejak 2011 menjadi pembantu peribadi Mamat sejak 13 tahun lalu.

"Susah senang saya dalam industri hiburan sejak 2007 memang dikongsi dengan Jamal. Dia bukan sekadar pembantu peribadi, tapi sudah saya anggap sebagai anggota keluarga.

"Tiada rahsia di antara kami dan dia memang memahami saya. Malah, saya sebenarnya bercadang mahu mengajak arwah tinggal bersama sebaik keadaan kesihatannya pulih kerana dia masih bujang.

"Bagaimanapun, hasrat saya tidak kesampaian. Ternyata Allah lebih sayangkan dia. Cuma, sepanjang arwah sakit dan menerima rawatan di Johor, saya tidak berpeluang menziarahnya berikutan pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Bagaimanapun, kami ada membuat panggilan video," katanya.

Mamat berkata, kali terakhir dia bertemu Jamal ialah ketika majlis pernikahannya pada 1 Mac lalu di mana Jamal menjadi saksi bagi pihak pengantin lelaki.

Menurut Mamat, Ramadan lalu ketika dirawat di hospital, Jamal ada membuat panggilan video walaupun ketika itu tubuhnya dipenuhi dengan tiub untuk rawatan.

"Walaupun tahu dia sakit, tetapi saya sentiasa hiburkan arwah dalam panggilan video kami untuk berinya semangat. Saya mahu dia kuat untuk berjuang melawan penyakitnya dan kembali pulih.

"Namun, Allah maha mengetahui. Saya reda dengan pemergian Jamal tetapi jujur diakui separuh jiwa saya dirasakan seperti dibawa pergi. Saya akan terus kenang arwah dalam doa harian," katanya.

Mamat baru mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan yang juga seorang anggota polis, Nordiana Ibrahim, 34, pada 1 Mac lalu.

Mamat juga akur isterinya tidak data bercuti ketika ini kerana perlu bertugas sebagai barisan hadapan dalam membendung penularan pandemik Covid-19.

Selain itu, Mamat juga amat merindui ibu, Masinah Ahmad, 68, dan bapanya,  Murad Ayob, 75, yang sudah berusia dan menetap di Kulai, Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 8:01 AM