MAMAT Exists. FOTO Fathil Asri
MAMAT Exists. FOTO Fathil Asri
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi Mamat Exists, 45, tidak terguris hati apabila dirinya masih dikaitkan 'kurang sihat akibat barang terlarang oleh segelintir netizen susulan tular video memaparkan dia dalam keadaan kurus kering di sebuah restoran di Johor, baru-baru ini.

Mamat ketika ditemui berkata, dia ada membaca komen netizen di media sosial mengenai penampilan dirinya itu, namun mengambil pendekatan tidak menghiraukan kerana lebih mengutamakan ketenangan diri.

"Saya tahu macam-macam orang cakap mengenai saya selepas tularnya video itu. Tapi, saya biarkan saja dan tak layan pun sebab saya berada dalam keadaan sihat serta tahu situasi sebenar ketika video itu dirakam.

"Itu video lama sebenarnya dan hanya tular baru-baru ini. Pada ketika itu (video dirakam), saya memang dalam keadaan tidak bersedia. Jadi, disebabkan itulah orang lihat saya lain dan nampak macam tak berapa sihat," katanya kepada Harian Metro

Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin berkata, dia bersyukur keadaan kesihatannya baik-baik saja dan tidaklah teruk sangat sebagaimana dalam video tular berkenaan.

"Sebenarnya kadang-kadang saja akan datang sakit. Mungkin dalam tiga bulan hanya sekali, tapi biasalah dengan faktor umur begini. Sakit pun yang biasa-biasa macam demam dan bukanlah penyakit misteri.

"Saya juga makan seperti biasa, cuma kadang-kadang yang tak makan sebab tak ada selera. Maklumlah, saya duduk seorang, jadi makan memang tak ikut masa, hanya kalau lapar baru makan," katanya kini menetap di kampung halamannya di Johor.

Mengulas komen netizen yang dibacanya, Mamat berkata, banyak juga komen negatif ditulis mengenai dirinya, tapi dia lebih memilih untuk tidak memberi maklum balas serta tidak melayan langsung semua komen berkenaan.

"Kalau saya komen bukan-bukan nanti, perkara ini akan jadi lebih besar. Jadi daripada saya terguris hati sendiri, lebih baik diam. Kalau teruk (komen) sekalipun, saya hanya biarkan saja sebab kadang-kadang apa dikatakan netizen itu hanyalah andaian mereka," katanya.

Terdahulu, Mamat hadir pada sesi sembang santai bersama Pengasas Myloan.my iaitu Awis Qurni Zakariah bagi meraikan kakitangan syarikat dalam persembahan empat lagu seperti Janji Padamu, Salju Di Danau Rindu, Langkah Seiringan dan Untukmu Ibu.

"Alhamdulillah, saya mendapat bayaran setimpal untuk persembahan ini berikutan tawaran menyanyi pun tidak banyak sekarang. Tapi, puas hatilah saya datang dari Johor untuk persembahan ini," katanya.

Mamat mula mencipta nama bersama Exists pada 1991 dan di era kegemilangan itu dia berhadapan ujian besar apabila terbabit dengan dadah serta pernah mendapatkan rawatan selama beberapa tahun di pusat pemulihan.

Pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas isterinya, Marshila Mustapa Kamal pada 2001, Mamat dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aleeya Mysara, Mohd Eiki dan Dylea Mysara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2023 @ 5:29 PM