SHAFIQ di sisi ayahnya yang diserang angin ahmar. FOTO Mohd Amin Jalil
SHAFIQ di sisi ayahnya yang diserang angin ahmar. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


“SEKARANG ayah dah tak boleh uruskan diri sendiri selepas dia mengalami strok (angin ahmar) bulan lalu,” kata Shafiq, 26, anak pelakon dan pelawak, Amran Aman Ramlie atau lebih dikenali sebagai Amran Tompel.

Amran Tompel, 70, kini terlantar akibat serangan angin ahmar sejak lebih sebulan lalu di rumah sewa anaknya di Taman Matahari Height Senawang, Seremban.

Beliau yang pernah mewarnai industri lakonan tanah air sekitar 1990an sehingga 2014, sebelum ini pernah beberapa kali diserang angin ahmar sebelum diserang kali kedua sejak peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Shafiq berkata, kejadian itu berlaku di rumah berkenaan dan ayahnya terus dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJ).

Anak kedua daripda empat beradik itu berkata, ayah berada di hospital itu selama seminggu dan kemudian dipindahkan ke Hospital Daerah Jelebu, Kuala Klawang Jelebu.

“Bagaimanapun, saya meminta kelulusan pihak hospital untuk membawa ayah balik ke rumah bagi memudahkan saya dan adik beradik yang lain menjaganya.

“Tambahan pula ketika PKP ini sukar untuk bergerak dan pihak hospital memberikan kebenaran.

“Namun saya perlu menjaga beliau dengan baik termasuk memastikan aktiviti fisioterafi dibuat setiap hari sebagai satu daripada kaedah rawatan yang diperlu dilakukan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Shafiq berkata, ketika ini ayahnya sukar untuk menguruskan diri kerana hanya terlantar di katil.

Malah katanya, ayah juga tidak boleh makan kecuali minum sahaja.

“Bila ayah menyuap makanan beliau akan muntah semula, mungkin perutnya tidak dapat menerima makanan dan saya hanya memberikan beliau susu,” katanya.

Menurut Shafiq, sehinggga kini banyak pihak yang menziarah dan membantu ayahnya termasuk bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian dan wang tunai.

Katanya, terdapat juga pihak yang mendermakan katil khas dan peralatan letrik.

“Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang datang melawat dan membantu menghulurkan bantuan dalam bentuk barangan dan wang tunai.

“Terima kasih kepada mereka yang begitu prihatin dengan keadaan ayah saya,” katanya.

Difahamkan, antara pihak yang tampil membantu termasuk Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (PBMalNS MAINS) selain masyarakat setempat membabitkan bantuan lampin pakai buang, makanan asas dan wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 4:19 PM