ELIZAD turut menunjukkan skil memasak sempena PKP. FOTO NSTP
ELIZAD turut menunjukkan skil memasak sempena PKP. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


MEMASUKI hari kelima Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kebanyakan artis mula menunjukkan skil memasak mereka.

Selain memuat naik video pesanan sebagai langkah berjaga-jaga sepanjang PKP ini, video aktiviti memasak antara yang turut mencuri tumpuan di Instagram.

Pengacara, Awal Ashaari menerusi #dapurdaddy tidak ketinggalan memuat naik beberapa menu masakan di Instagram Stories sejak PKP dilaksanakan.

Awal berkata, menu yang disediakan adalah sukar selain mahu mencabar diri memasak di dapur.

"Sepanjang tempoh PKP ini, kebanyakan menu disediakan adalah yang orang jarang nak buat. Sebelum ini saya suka masak masakan barat. Masakan Melayu sangat jarang.

"Jadi, apabila nak masak saya tengok cara-cara di YouTube dan cari resipi di Google, sebenarnya memang boleh. Macam Roti Kerca, saya minta resipi daripada mak mentua.

"Ada juga menu yang kalau nak makan kena tunggu mak buat. Tapi, sepanjang PKP ni, dapatlah buat sendiri. Jadi, ada bagusnya juga kena duduk rumah. Malah, sepanjang PKP ini juga, belum pernah lagi menggunakan khidmat penghantaran makanan," katanya.

Tidak ketinggalan pelakon dan penyampai radio, Siti Elizad yang menggunakan #dudukrumahchallenge dengan berkongsi menu masakan.

"Memasak memang aktiviti wajib saya kalau berada di rumah. Cuma, untuk PKP ini, saya mahu berkongsi dengan peminat. Sekurang-kurangnya mereka pun ada aktiviti sendiri.

"Menu yang dikongsi ringkas dan mudah disediakan. Malah ia juga menu kegemaran saya bersama keluarga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2020 @ 3:46 PM