Sheila banyak menghabiskan masa bersama cucu.
Sheila banyak menghabiskan masa bersama cucu.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Kesibukan saya banyak kepada Bunga El Haq (cucu). Dia keutamaan saya."

Itu kata penerbit dan pelakon terkenal, Sheila Rusly yang kini dilihat banyak menghabiskan masa bersama cucu sulung yang juga anak kepada pelakon Elisya Sandha dan suami, Uzair Haqimy.

Sheila, 51, berkata, cucu perempuannya itu juga berada dalam carta nombor satu selain menyifatkan Bunga adalah segala-galanya.

"Buat masa ini Bunga segala-galanya. Ke mana-mana pergi memang beli barang untuk dia. Bunga carta nombor satu saya. Kalau bab tidur masih dengan mak ayah dia. Kita takkan ambil tempat mak ayah dia.

"Saya cuma membantu meringankan sikit tanggungjawab anak-anak. Kalau mak ayah dia ada kerja, saya akan menjaga. Walaupun ada pembantu, saya tetap nak jaga. Bukan apa, dia kecil lagi jadi masih perlu dipantau.

"Kalau saya pula ada kerja, sekejap-sekejap akan tengok jam sebab nak balik cepat jumpa Bunga," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Sheila yang juga duta Maggi ditemui pada program Duniaku Bersama Maggi, Sah Malaysia! yang diadakan di Lanai @ MaTiC, Jalan Ampang, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Sheila berkata, aktiviti memasak dan membuat kandungan masakan tetap berjalan seperti biasa.

"Memasak tetap memasak. Kalau tidak ada orang di rumah, saya bawa Bunga masuk dapur. Itu bukan kandungan semata-mata, tapi saya memang letak dia di dapur dan tengok saya memasak. Biarkan dia tahu. Saya tidak ada anak perempuan, jadi sejak ada Elisya, kami berkongsi minat sama," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 11:27 AM