BERPELUANG membintangi Ombak Rindu The Series di bawah arahan Osman Ali. FOTO Eizairi Shamsudin
BERPELUANG membintangi Ombak Rindu The Series di bawah arahan Osman Ali. FOTO Eizairi Shamsudin
Ardini Sophia Sina


LIMA tahun meniti kerjaya sebagai pelakon, nama Hanna Aqeela belum cukup dikenali ramai sedangkan mereka yang baru saja menceburi bidang seni sudah berjaya mencuri tumpuan.

Situasi itu bagaimanapun tidak mengganggu fokus wanita ini menjadikan seni sebagai karier. Katanya, paling penting adalah peningkatan dalam lakonan kerana ia lebih utama bagi memastikan kelangsungan kerjayanya.

“Saya akui, ada pelakon baru yang lebih popular. Bagaimanapun, populariti bukanlah tujuan utama saya. Dalam setiap projek, saya pentingkan peningkatan kualiti.

“Peningkatan teknik lakonan itulah yang dinilai penggiat seni tanah air. Penonton kita sekarang pun sudah pandai menilai. Kalau berlakon dari dulu sampai sekarang sama saja, rasanya sesiapa pun akan bosan,” katanya.

Setiap kali penonton tertarik dengan lakonannya dalam sesebuah drama, ramai menyangka Hanna ‘budak hingusan’ yang baru saja menceburi bidang seni.

“Biarlah mereka anggap saya pelakon baru. Kalau ada yang cakap, ‘budak baru tapi sudah pandai berlakon’, itu lebih baik dan saya anggap sebagai satu pengiktirafan.

“Bukan mudah penonton memuji bakat lakonan kita. Oleh itu, setiap komen positif yang diberikan saya sangat hargai. Saya juga terbuka dengan segala teguran demi memperbaiki mutu lakonan,” katanya.

Aktif berlakon pada usia 24 tahun iaitu selepas tamat pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, antara drama dibintanginya adalah Suami Sebelah Rumah, Kelip Kelip Di Kota London dan Patah Sayap Bertongkat Paruh.

PENTINGKAN peningkatan kualiti dalam lakonan. FOTO Eizairi Shamsudin
PENTINGKAN peningkatan kualiti dalam lakonan. FOTO Eizairi Shamsudin

Walaupun masih mencari ruang untuk lebih diterima oleh penggemar seni tempatan, Hanna bagaimanapun enggan mengambil jalan pintas dengan sengaja mencipta kontroversi sebagai pelaris.

“Mungkin sebab tidak ada kontroversi, ramai belum kenal dan anggap saya orang baru. Bagaimanapun, saya selesa begini. Biarlah orang tidak kenal asalkan tawaran kerja sentiasa ada.

“Popular atau tidak, saya tidak kisah pun. Yang penting masih ada panggil berlakon dan dibayar untuk setiap projek. Saya rasa, itu lebih penting kerana saya juga ada bil yang perlu dibayar,” katanya.

Baru-baru ini, Hanna berpeluang membintangi Ombak Rindu The Series di bawah arahan Osman Ali untuk tayangan Iflix. Memegang watak antagonis kata Hanna, dia sama sekali tidak kisah andai terkenal dengan watak sebegitu.

Mengakui berdebar menjayakan watak Elin dalam siri berkenaan, dia gembira kerana mutu lakonan yang ditunjukkan itu membuatkan Osman terus menawarkan beberapa projek untuknya.

“Kalau nama tidak dikenali menerusi watak baik, tak kisah pun kalau terkenal sebab pegang watak jahat. Menerusi Ombak Rindu The Series, itu adalah kali pertama saya bekerja di bawah arahan Abang Osman.

“Selepas selesai penggambaran, Abang Osman ada hubungi saya untuk tawarkan beberapa projek. Bagi saya, ia petanda baik. Mungkin kejayaan menjiwai watak membuatkan pengarah sudi mengambil saya berlakon dalam projek lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 5:45 AM