ANTARA persembahan yang berlangsung di AN19.
ANTARA persembahan yang berlangsung di AN19.
Najiy Jefri


LAGU Buta ciptaan dan lirik Faizal Tahir, Mike Chan serta Ezra Kong dinobatkan sebagai Juara Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Nasyid 19 (AN19) yang berlangsung di Dewan Besar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur, semalam.

Lagu Buta nyanyian kumpulan Caliph Buskers itu adalah penyertaan pertama mereka dalam penganjuran itu.

Naib Juara Anugerah Lagu Terbaik dimenangi XPDC menerusi lagu Doa ciptaan dan lirik oleh Izo XPDC.

Manakala, kumpulan Rabbani yang menyampaikan lagu Ittihad dipilih sebagai pemenang tempat ketiga.

Penulis lirik lagu Gugur Di Setiamu nyanyian kumpulan Far East, Eenaz Mokhtar dipilih sebagai Lirik Terbaik manakala Vokal Terbaik turut dimenangi Far East menerusi lagu ciptaan Keroz Nazri itu.

Bagi kategori Persembahan Terbaik dimenangi bekas anggota kumpulan The Fabulous Cats, Adeep Nahar menerusi lagu Izinkan.

Penyanyi dan komposer baharu, Ikhwan Fatanna diangkat sebagai Artis Baru Terbaik manakala Muzik Video Terbaik pula dimenangi kumpulan In Team menerusi lagu Dia yang menerima 4.4 juta tontonan di laman YouTube.

Bagi kategori anugerah pilihan pendengar pula, penyanyi popular, Khai Bahar memenangi kategori Lagu Pilihan dan Artis Solo Pilihan, Saujana (Artis Duo/Berkumpulan Pilihan) dan ReUNIC (Media Sosial Terbaik).

Hadiah utama disampaikan oleh Pengerusi IKIM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Hadir sama, Ketua Pengarah IKIM, Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin.

Sebanyak 11 kategori dipertandingkan menerusi AN19 yang membabitkan 12 finalis berentap.

Mereka adalah kumpulan ReUNIC menerusi lagu Bertemu Semula, Ikhwan Fatanna (Bismillah), Caliph Buskers (Buta), Saujana (Satu Dalam Perjuangan), Mirwana (Cinta Bukan Mainan), In Team (Dia), XPDC (Doa), Far East (Gugur Di Setiamu), Rabbani (Ittihad), Adeep Nahar (Izinkan), Rabithah (Jalan Keluar) dan Khai Bahar (Cahaya 114).

Empat panel juri profesional dilantik ialah Farihin Abdul Fattah sebagai ketua juri, Rozman Shafie atau LY (penjurian lagu), Norkhayati Mohd Hashim (Baiduri - penjurian lirik) dan Huzaimi Mohd Zaimi (penjurian persembahan & vokal).

AN19 anjuran IKIM kembali dianjurkan tahun ini selepas dua tahun menyepi.

Lagu yang dipertandingkan berdasarkan daripada lagu popular menerusi Carta Nasyid terbitan IKIM.fm

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 12:45 AM