LAGU Rahsia Dari Langit ciptaan Along Exists dan lirik oleh Tinta dinobatkan Juara Anugerah Pencinta Nasyid Ikim 2020 (APNI 2020). FOTO Facebook Institut Kefahaman Islam Malaysia
LAGU Rahsia Dari Langit ciptaan Along Exists dan lirik oleh Tinta dinobatkan Juara Anugerah Pencinta Nasyid Ikim 2020 (APNI 2020). FOTO Facebook Institut Kefahaman Islam Malaysia
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Lagu Rahsia Dari Langit ciptaan Along Exists dan lirik oleh Tinta dinobatkan Juara Anugerah Pencinta Nasyid Ikim 2020 (APNI 2020) yang julung kali dianjurkan dalam talian malam ini.

Ia sekaligus membolehkan lagu nyanyian Afad & kumpulan Simfoni itu meraih wang tunai RM10,000.

Naib Juara menjadi milik Ikhwan Fatanna menerusi lagu Pelita nyanyian kumpulan Far East dan membawa pulang wang tunai RM7,000.

Manakala Hafiz Hamidun yang mencipta lagu Saksi Syahadah dan lirik oleh Fedtri Yahya nyanyian kumpulan Awla menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai RM3,000.

Artis lain yang bertanding terdiri daripada Kumpulan Fine menerusi lagu Adil ciptaan Daqmie & Alfa Booty dan lirik Siso; Kumpulan Inteam (Ittaqullah ciptaan Yasin Sulaiman dan lirik Frizdan); Halim Ahmad & kumpulan Zayne (Benar ciptaan AG Coco dan lirik John Bear); dan kumpulan Rabbani (Santun ciptaan Fuad Ko & Wan Saleh dan lirik Ito Lara).

NAIB Juara menjadi milik Ikhwan Fatanna menerusi lagu Pelita nyanyian kumpulan Far East. FOTO Facebook Institut Kefahaman Islam Malaysia
NAIB Juara menjadi milik Ikhwan Fatanna menerusi lagu Pelita nyanyian kumpulan Far East. FOTO Facebook Institut Kefahaman Islam Malaysia

APNI 2020 dianjurkan sebagai menyahut saranan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al Bakri. 

Berbeza daripada anugerah yang pernah dianjurkan sebelum ini oleh Ikim, APNI 2020 membabitkan karya baharu.

Tujuh penerbit dipilih menyertai pertandingan yang mengetengahkan tujuh tema iaitu Ilmu; Hikmah; Adab; Adil; Taqwa; Amanah dan Benar.

APNI 2020 turut mengetengahkan penulis lirik, penyusun lagu dan kumpulan penyanyi. 

Lebih istimewa, tujuh lagu ciptaan baharu itu juga diabadikan dalam satu buku notasi muzik.

HAFIZ Hamidun yang mencipta lagu Saksi Syahadah dan lirik oleh Fedtri Yahya nyanyian kumpulan Awla menduduki tempat ketiga. FOTO Facebook Institut Kefahaman Islam Malaysia
HAFIZ Hamidun yang mencipta lagu Saksi Syahadah dan lirik oleh Fedtri Yahya nyanyian kumpulan Awla menduduki tempat ketiga. FOTO Facebook Institut Kefahaman Islam Malaysia

Semua karya itu dinilai oleh empat juri profesional iaitu Manan Ngah, Hairul Anuar Harun, Adeep Nahar dan Ustaz Paharol Md Juoi. 

Kesemua persembahan peserta yang bertanding dirakam terlebih dahulu sebelum pertandingan hari ini. 

Anugerah itu disiarkan menerusi empat platform melalui Televisyen (TV) Ikim, YouTube Ikim, Facebook (FB) serta menerusi stesen radio Ikim FM, bermula jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 12:22 AM