ANTARA artis yang menjayakan Konsert Haus Boom Music 2019 pada 10 November ini.
ANTARA artis yang menjayakan Konsert Haus Boom Music 2019 pada 10 November ini.
Najiy Jefri


RATU rock negara, Ella bersama tujuh lagi band terkemuka tempatan bakal menghangatkan Konsert Haus Boom Music 2019 pada 10 November ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan.

Band terkenal yang terdiri daripada pelbagai genre muzik seperti hip hop, rock, reggae serta ska itu membariskan Hujan, Pop Shuvit, Bunkface, Gerhana Ska Cinta, K-Clique dan Budak Nakal Hujung Simpang.

Penganjurnya, Azri Zahier Azmi berkata, konsert berskala besar julung kali diadakan itu diharapkan dapat menarik seramai mungkin rakyat Malaysia terutama golongan muda yang menantikan gabungan unik itu.

Katanya, hampir setiap tahun mereka menganjurkan konsert, cuma kali ini ia akan berlangsung dengan kapasiti yang lebih besar dan meriah.

“Apa yang pasti, gabungan ini sememangnya ditunggu ramai selepas kami mengambil kira setiap maklum balas peminat dan pencipta muzik yang menginginkan artis kegemaran mereka bersatu di atas satu pentas.

“Pihak kami amat teruja apabila gabungan ini dapat disatukan. Kami percaya konsert ini akan mencetuskan fenomena tersendiri sekali gus mencatat sejarah indah dalam diri setiap penonton yang hadir nanti.

“Justeru pihak kami ingin mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama hadir dan menyokong industri seni muzik tempatan. Siapa lagi akan menyokong bakat seni tempatan jika bukan rakyat Malaysia sendiri,” katanya.

Menurutnya, dia yakin konsert yang tidak mengenakan caj bayaran masuk mahal mampu menarik lebih 7,000 penonton.

“Acara yang mampu memuatkan 7,000 penonton ini bakal dimeriahkan dengan persembahan demi persembahan selama tujuh jam sekali gus membuatkan penonton teruja dengan seleksi lagu yang dipersembahkan nanti.

“Siapa yang tidak mengenali Hujan, Ella, Pop Shuvit, Bunkface, Gerhana Ska Cinta, K-Clique dan Budak Nakal Hujung Simpang? Mereka ini semua mempunyai bakat luar biasa dan jumlah kelompok peminat yang sangat ramai.

“Pihak kami jamin konsert ini bakal menghidangkan lagu popular yang akan membuatkan dewan MIECC bergema dengan suara lautan peminat turut sama menyanyi,” katanya.

Harga jualan tiket bermula dari RM30 (Early Bird), RM60 (Pintu Masuk) dan RM100 (RockZone).

Tiket akan dibuka untuk jualan hanya melalui aplikasi TicketApps bermula 18 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 3:33 PM