FAIZAL Tahir anggap kematian dua sahabatnya yang juga pemuzik iaitu Wan Kelly dan Fauzi Samin atau Aji sebagai peringatan untuk dia mengundur diri daripada dunia seni. FOTO Instagram Faizal Tahir
FAIZAL Tahir anggap kematian dua sahabatnya yang juga pemuzik iaitu Wan Kelly dan Fauzi Samin atau Aji sebagai peringatan untuk dia mengundur diri daripada dunia seni. FOTO Instagram Faizal Tahir
Ardini Sophia Sina


PENYANYI dan komposer terkenal, Faizal Tahir menganggap kematian dua sahabatnya yang juga pemuzik iaitu Wan Kelly dan Fauzi Samin atau Aji adalah peringatan dan petanda untuk dia mengundurkan diri daripada dunia seni.

Faizal menerusi kenyataan di Instagram (IG) berkata, Wan Kelly dan Aji adalah dua individu yang memainkan peranan besar dalam pembangunan muzik serta persembahannya secara langsung.

"Saya tidak percaya pada kebetulan. Semua yang terjadi pasti ada hikmahnya. Dan apa yang terjadi juga ada sebabnya. Peringatan dan petanda. Petanda untuk saya mengundurkan diri.

"Saya tahu kamu berdua berada di tempat yang terbaik kerana kamu adalah insan yang hebat, suci dan berhati mulia. Allah menyayangi kamu.

"Masa saya juga akan tiba tetapi masih di sini dan percaya mempunyai tujuan, peranan dan tanggungjawab untuk dilaksanakan sebelum bertemu dengan kamu. Allah maha mengetahui," katanya.

Faizal turut mendedahkan bahawa konsert skala besar yang dirancang sebelum mengundurkan diri daripada dunia seni tidak akan dilaksanakan berikutan kematian dua sahabatnya itu.

"Dua sudah pergi. Dalam masa empat bulan, saya kehilangan dua insan yang dianggap sebagai saudara dan tunjang utama dalam kumpulan. Kekuatan serta asas persembahan saya secara langsung.

"Sekian lama, mereka sentiasa ada membantu dan memberikan dorongan apabila saya memerlukannya.

"Walaupun mereka sudah pergi namun saya tidak mahu menggantikan tempat mereka. Tanpa mereka, persembahan saya tidak akan sama seperti sebelum ini," katanya.

Wan Kelly atau nama sebenarnya Wan Kelly Abdul Rahman meninggal dunia ketika sedang melakukan sesi latihan dan ujian bunyi di sebuah taman tema di Ipoh, Perak pada 4 Mei lalu.

Sementara itu, dunia hiburan sekali lagi dikejutkan dengan pemergian pemain gitar terkenal, Aji, yang meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Bukit Kemuning, Shah Alam kira-kira jam 11.45 pagi, semalam, akibat serangan jantung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 7:18 PM