NIZAM (empat kanan) bersama penyanyi, Faizal Tahir (tengah) dan Raja Jastina (tiga kiri) pada malam gala filem Boboiboy Movie 2 baru-baru ini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
NIZAM (empat kanan) bersama penyanyi, Faizal Tahir (tengah) dan Raja Jastina (tiga kiri) pada malam gala filem Boboiboy Movie 2 baru-baru ini. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Najiy Jefri


FILEM animasi tempatan Boboiboy Movie 2 (BBBM2) berjaya mengutip sebanyak RM27.7 juta dalam tempoh 26 hari tayangan di Malaysia.

Kejayaan terbabit sekali gus menjadikan filem animasi itu sebagai filem animasi terlaris No 1 di Malaysia mengatasi filem animasi terbitan tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios (MONSTA), Nizam Abdul Razak, yang juga penerbit serta pengarah filem BBBM2 berkata, pihaknya amat teruja dengan pencapaian filem itu yang berjaya memecahkan rekod kutipan tertinggi untuk filem animasi tempatan.

“Kami di MONSTA amat teruja dengan pencapaian BBBM2 yang berjaya memecahkan rekod kutipan tertinggi semua filem animasi di Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penonton pelbagai bangsa dan lapisan umur yang menyokong filem ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, usaha promosi, pemasaran serta kualiti filem terbabit nyata berjaya membawa penonton ke pawagam.

“Segala usaha promosi dan pemasaran yang dirangka benar-benar memberikan impak positif. Ini adalah perkembangan yang sangat baik dalam industri filem tempatan dan menunjukkan filem animasi tempatan kita mampu bersaing dengan filem antarabangsa.

“Kami sangat berterima kasih kepada penonton yang menonton dan menjadikan filem BBBM2 sebagai filem Animasi No 1 Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 September 2019 @ 3:38 PM