ELLY Mazlein inginkan hari bersejarah itu dihadiri rakan media yang banyak membantunya sepanjang berada di dalam industri. FOTO Mahzir Mat Isa
ELLY Mazlein inginkan hari bersejarah itu dihadiri rakan media yang banyak membantunya sepanjang berada di dalam industri. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri


PENYANYI dan pelakon, Elly Mazlein berkongsi perkembangan terkini persediaan perkahwinannya yang dijangka berlangsung pada tahun depan dan akan mengadakan sidang media sekiranya semuanya sudah muktamad.

Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, sidang media itu juga berkemungkinan diadakan serentak dengan majlis pertunangannya bersama bakal suami yang hanya diperkenalkan sebagai Papa Awan Nano.

"Setakat ini, beberapa persediaan sudah dilakukan dan tarikh untuk majlis perkahwinan pun sudah ada. Tapi, saya akan kongsikan dalam satu majlis sidang media khas apabila semuanya sudah muktamad.

"Berkemungkinan besar, majlis sidang media ini juga akan diadakan serentak dengan majlis pertunangan saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia inginkan hari bersejarah itu dihadiri rakan media yang banyak membantunya sepanjang berada di dalam industri.

"Saya nak rakan media ada sama di hari bahagia ini dan ia umpama hadiah buat mereka yang sentiasa membantu sepanjang karier seni berlangsung," katanya.

Elly berkata, dia bersyukur kerana rezeki untuknya tidak pernah putus.

"Selama ini, hanya mendengar cerita mengenai rezeki orang yang bakal berkahwin dan sekarang, saya sendiri dah mula rasa.

"Tawaran kerja pun tak henti-henti. Baik tawaran lakonan, nyanyian dan pengacaraan, semuanya datang serentak dan saya bersyukur kepada Allah atas rezeki yang dikurniakan," katanya.

Menjelang 8 Ogos, genap setahun Elly mengenali Papa Awan Nano dan sepanjang tempoh itu, Elly mula mengenali hati budinya.

Elly sebelum ini berkahwin dengan pengarah, Azmi Hatta dan dikurniakan cahaya mata, Putri Sara Sefhia Azmi sebelum bergelar ibu tunggal selama tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 6:20 PM